- Gambar Hiasan
MARAN - Majikan swasta disaran memberi insentif yang lebih lumayan dan menarik kepada para pekerja yang bekerja pada hari cuti umum seperti Hari Raya Aidilfitri termasuk hari cuti umum khas lain.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata langkah itu perlu kerana para pekerja memberi perkhidmatan terbaik kepada majikan walaupun mereka berkorban untuk bertugas pada masa cuti umum.
"Kementerian ada menerima aduan daripada pekerja bahawa mereka hanya dibayar gaji seperti hari biasa sedangkan bertugas pada hari cuti umum. Mereka (pekerja) ini bukan bekerja lebih masa atau over time (OT) tetapi, bekerja pada hari kelepasan am ketika orang lain menikmatinya.
"Pengorbanan seperti ini wajar diiktiraf oleh majikan kerana mereka terpaksa mengorbankan masa istimewa dan penting bersama keluarga tersayang demi tugas," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, terpulang kepada para majikan untuk menentukan bentuk insentif yang ingin diberikan kepada pekerja yang terlibat berdasarkan pengorbanan yang dilakukan demi syarikat.
Dalam pada itu Ismail memberi amaran tidakan tegas di bawah Akta Pekerjaan 1987 boleh diambil ke atas majikan yang tidak mencarum pekerja dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Menjadi kewajipan kepada setiap majikan mencarum pekerja mereka walaupun hanya pekerja sambilan.
"Tindakan mencarum adalah untuk menjamin masa depan pekerja itu sendiri kerana jika mereka ditimpa kemalangan dan musibah semasa bekerja atau sebaliknya, nasib mereka akan terbela sekali gus menjamin masa depan apatah lagi jika ia membabitkan kecederaan kekal," katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment