Tuesday 26 August 2014

Russia dakwa penyiasatan MH17 telah dihentikan

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov.

MOSCOW: Rusia telah menuduh pihak penyiasat antarabangsa sebagai 'kurang telus' apabila mereka gagal mendedahkan butiran siasatan ke atas pesawat Penerbangan Malaysia MH17 yang ditembak jatuh di Ukriane, Julai lalu.

Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov menyoal kenapa rakaman kotak hitam pesawat tersebut tidak diedarkan kepada umum sehinggakan beliau membuat tanggapan bahawa orang ramai telah 'hilang minat' terhadap siasatan tersebut.

Menurut laporan, pihak penyiasatan Belanda yang mengetuai siasatan telah memaklumkan pada awal bulan ini bahawa mereka akan mendedahkan laporan awal siasatan 'beberapa minggu lagi'.

"Tiada siapa memberitahu kita apa-apa (sebab) yang masuk akal tentang mengapa rakaman kotak hitam tidak boleh didedahkan sepenuhnya," kata Lavrov pada taklimat menerusi televisyen di Moscow.

Beliau turut menyoal mengapa Ukraine belum memberikan rakaman perbualan antara kawalan trafik udara di lapangan terbang yang berdekatan Dnepropetrovsk.

Katanya, Rusia telah menghubungi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang telah menubuhkan pasukan petugas berhubung kemalangan pesawat itu, namun ujarnya "setakat ini tiada apa-apa yang telus dapat dilihat di sana juga."

Lavrov merasakan bahawa siasatan telah gagal untuk mencari bukti penglibatan Rusia dalam penembakan pesawat itu pada Julai kerana ia terbang ke atas wilayah yang dikuasai pemberontak di timur Ukraine.

Beliau berkata, mereka yang pada mulanya membuat 'begitu kecoh' tuduhan terhadap Rusia dan pemberontak, kini telah senyap.

Pencarian mangsa-mangsa di lokasi kemalangan itu telah ditangguh sejak awal Ogos atas faktor keselamatan kerana pihak penyiasat tidak dapat meneruskan pencarian di lokasi yang terlibat dengan pertempuran itu.

Pada 17 Julai lalu, pesawat MH17 telah ditembak jatuh di daerah konflik, Donetsk ketika pesawat tersebut dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur menyebabkan 298 penumpang dan anak kapal pesawat itu terbunuh.

Kotak hitam pesawat telah dihantar ke Farnborough di Britain untuk diperiksa oleh Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara. - AFP 

No comments:

Post a Comment