Tuesday 26 August 2014

KL diiktiraf Bandar Raya Tenaga Dunia

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Kuala Lumpur diiktiraf sebagai Bandar Raya Tenaga Dunia oleh World Energy Cities Partnership (WECP).

Pengiktirafan itu diberikan kepada Kuala Lumpur oleh WECP pada Mesyuarat Agung Tahunannya di Stavanger Sabtu lepas. 

WECP, yang dibentuk pada 1995, merupakan sebuah organisasi bukan keuntungan bagi bandar raya tenaga utama dunia yang diiktiraf seluruh dunia sebagai ibu kota tenaga antarabangsa. 

Presiden WECP dan Datuk Bandar Stavanger di Norway, Christine Sagen Helgo berkata dalam satu kenyataan hari ini bahawa beliau melihat Kuala Lumpur sebagai bandar raya penting di Asia Pasifik yang menyumbang kepada ekonomi serantau dan dijangka memainkan peranan utama dalam pembangunan berterusan sektor tenaga.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib hadir di majlis itu bagi menerima pengiktirafan tersebut. 

Turut hadir ialah Pengarah Eksekutif Malaysian Petroleum Resources Corporation (MPRC), Dr Shahreen Madros. 

Ahmad Phesal berkata beliau berharap dapat mengukuhkan lagi sumbangan Kuala Lumpur kepada WECP. 

"Ia adalah dengan tanggungjawab besar dan kebanggaan kita menerima perkongsian penting ini," katanya. 

Sementara itu, Shahreen berkata perkongsian tersebut membuka peluang bagi pembangunan bersama dalam pelbagai bahagian strategik termasuk minyak dan gas kerana ia merupakan teraju utama ekonomi Malaysia. 

"Sejajar dengan strategi kerajaan untuk mengekal, mengembang dan mempelbagaikan keupayaan tenaga kita, Kuala Lumpur sebagai bandar raya rakan kongsi boleh memanfaatkan rangkaian seluruh dunia sumber dan perkhidmatan sokongan industri WECP.

"Ini merupakan satu daripada asas binaan bagi Malaysia dalam meletakkan dirinya sebagai hab minyak dan gas serantau," katanya. 

- Sumber: Bernama

No comments:

Post a Comment