Tuesday 26 August 2014

Kerugian MAS angkara siapa?

MAS dijangka akan membuang 5,000 hingga 6,000 dari 20,000 pekerjanya dalam rancangan penyusunan semula syarikat itu. -Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam) tidak bersetuju dengan dakwaan bahawa pekerja atau kesatuan itu menjadi punca syarikat penerbangan Malaysia (MAS) mengalami kerugian. 

Menurut laporan Bloomberg, MASmencatatkan kerugian bersih sebanyak RM935 juta bagi tahun 2013 dan Maybank menganggarkan kerugian bakal melonjak kepada RM1.2 bilion bagi tahun 2014.

Menerusi satu kenyataan, Nufam berkata syarikat berkenaan tidak mendapat keuntungan atau hasil yang sepatutnya dicapai bukanlah angkara pekerja syarikat penerbangan itu. 

“Kemelut ini bukan daripada tindakan pekerja-pekerja atau kesatuan Nufam sendiri, tetapi kemudaratan berlaku atas sebab beberapa fakta yang masih dinafikan oleh sesetengah pihak sehingga hari ini.

“Ia datang daripada kecuaian pihak pengurusan tertinggi di dalam MAS dan bukan pekerja-pekerja bergred bawah,” kata kesatuan itu.

Kesatuan itu turut berkata pekerja gred bawah yang selama ini banyak membantu syarikat turut terkena tempias permasalahan MAS.

Nufam menyarankan kerajaan agar mengambil pihak ketiga yang berwibawa untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan kemelut ini dan bukan individu yang telah mengendalikan syarikat.

“Kita tidak perlu membuat major reshuffling, tetapi harus memperhalusi di manakah kesilapan dan kecuaian sebenar syarikat MAS berlaku.

“Pengurusan MAS juga kena belajar berjalan kaki ayam seperti pekerja mereka. Kalau hendak imbuhan yang tinggi tetapi syarikat masih gagal mendapat keuntungan, itu akan tetap merugikan MAS,” tambah kenyataan itu.

Tambahnya, ramai kru kabin telah memberikan kerjasama dan komitmen kepada syarikat untuk tempoh yang lama, tetapi sudah hilang kepercayaan terhadap pihak-pihak yang menerajui syarikat tersebut.

“Kekecewaan ini amatlah menyerlah di air muka mereka sehingga saat ini. MAS adalah tempat menampung hidup mereka dan juga tempat berteduh. Di manakah mereka akan pergi jika ramai daripada pekerja ini dihentikan perkhidmatan mereka?

“Jangan kita semua mudah lupa bahawa kerana hasil kerjasama 20,000 pekerja inilah MAS untung besar satu ketika dahulu,” kata Nufam.

Menurut laporan Reuters, MAS dijangka akan membuang 5,000 hingga 6,000 daripada 20,000 pekerjanya dalam rancangan penyusunan semula syarikat itu yang akan diumumkan oleh pemegang saham terbesar MAS, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

-- Sumber: Astro Awani

No comments:

Post a Comment