Monday 28 July 2014

Singapura dan M'sia diramal dilanda berjerebu

Keadaan berjerebu teruk tahun lalu - Gambar Fail

JAKARTA: Agensi bencana Indonesia memberi amaran bahawa negara jiran Singapura dan Malaysia berkemungkinan dilanda cuaca berjerebu, selepas peningkatan ketara dalam jumlah kebakaran hutan di beberapa wilayah republik itu yang menjadi perhatian ketika krisis pencemaran udara serantau tahun lalu.

Kebakaran di wilayah Riau dan di pulau Sumatera di barat Indonesia menyumbang kepada cuaca berjerebu yang paling teruk di Asia Tenggara untuk lebih daripada sedekad pada Jun tahun lepas, yang turut memberi kesan kepada kehidupan harian jutaan penduduk dan mencetuskan ketegangan dalam hubungan diplomatik.

Jun adalah permulaan musim membakar hutan - apabila teknik tebang dan bakar digunakan untuk membersihkan tanah dengan cara lebih cepat dan murah, selalunya membabitkan ladang kelapa sawit - dan pegawai bencana memaklumkan jumlah kebakaran hutan di Riau kini meningkat dengan pantas.

Sebanyak 366 "tompok panas" telah dikesan di wilayah itu pada Rabu, meningkat daripada 97 pada hari sebelumnya, menurut jurucakap agensi bencana Sutopo Purwo Nugroho.

"Kita mesti bersedia kerana angin mengarah ke timur laut. Kemungkinan tinggi jerebu berkemungkinan sampai ke Singapura dan Malaysia," kata Nugroho.

Pakar-pakar sebelum ini berkata bahawa jangkaan fenomena El Nino pada akhir tahun ini bermungkinan menyemarakkan lagi kebakaran hutan dengan cuaca menjadi lebih kering daripada biasa.
Sehingga kini kebakaran hutan masih belum memberikan sebarang kesan serius keatas kehidupan seharian di Sumatera, dan ruang udara di seluruh Singapura masih bebas daripada jerebu.

Pihak berkuasa berkata bahawa kebanyakan kebakaran hutan pada tahun lepas telah disengajakan untuk membersihkan kawasan hutan. Kaedah tebang dan bakar sememangnya teknik pertanian tradisional yang telah lama diamalkan, tetapi kumpulan alam sekitar juga mendakwa syarikat-syarikat besar juga menggunakan kaedah yang sama.

Menurut sebuah institut pemantau yang berpangkalan di Washington, sebahagian besar kebakaran baru-baru ini telah dikaitkan dengan syarikat gergasi kertas dan minyak sawit selain pembekal mereka.

Menggunakan data dari alat pemetaan satelit, ia mendapati 75 kawasan panas dikesan antara Sabtu dan Isnin di kawasan dimana Asia Pulp & Paper (APP), salah sebuah daripada syarikat kertas terbesar di dunia, beroperasi.

Sebanyak 43 titik panas juga dikesan di kawasan- yang diduduki oleh pembekal kepada syarikat kertas Asia Pacific Resources International Limited (APRIL) pada tempoh yang sama.

Pengarah Urusan syarikat APP, Aida Greenbury, berkata 10 kebakaran yang berlaku pada kawasan hutan yang dikendalikan oleh pembekal APP dalam lima hari yang lalu, semuanya telah dipadamkan.

"Kami tidak mengamalkan (pembakaran hutan) dan sangat mengutuk aktiviti potong dan bakar," katanya.

Syarikat APRIL juga telah bersetuju untuk menyokong usaha memadamkan kebakaran dengan meminjamkan pam air dan helikopter milik syarikat itu. - ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment