Monday, 28 July 2014

Penangan bot pukat rawa sorong

Bot pukat rawa sorong yang ditinggalkan di sekitar perairan
Bot pukat rawa sorong yang ditinggalkan di sekitar perairan

YAN - Lebih 100 nelayan di daerah Yan mendakwa kerugian ribuan ringgit selepas hasil hidupan laut di kawasan perairan Sungai Limau hingga ke Tanjong Dawai semakin berkurangan.

Difahamkan, masalah itu berlaku disebabkan kewujudan semula aktiviti haram bot pukat rawa sorong.

Wakilnya, Roshidi Hakim, 35, berkata, kekurangan hasil hidupan laut menyebabkan sumber pendapatan nelayan terjejas teruk.

Beliau berkata, ia juga menyebabkan harga ikan mahal terutama sepanjang musim perayaan.

“Sebelum ini, pihak berkuasa meningkatkan rondaan di kawasan perairan dan berjaya mengurangkan aktiviti bot pukat rawa sorong.

“Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, lebih 15 bot pukat rawa sorong dikesan aktif pada jam 3 hingga 7 pagi setiap hari,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Menurutnya, kegiatan bot pukat rawa sorong itu juga sering kali dikesan berkeliaran di sekitar perairan Singkir, Ruat, Sungai Udang dan Pantai Murni.

“Kita sedia maklum bahawa kegiatan menggunakan bot pukat rawa sorong tidak dibenarkan oleh kerajaan, tetapi mereka masih berdegil.

“Kegiatan itu menyebabkan hasil hidupan laut seperti ikan kembung, udang dan ketam semakin berkurangan,” katanya.

Lebih membimbangkan apabila ikan kembung hanya boleh didapati pada saiz kecil manakala yang besar sukar diperoleh.

“Kalau ikan kecil memang ada tetapi terlalu sedikit. Ini bermakna hidupan laut jenis itu semakin pupus dan menyukarkan kami mendapat hasil pendapatan,” katanya.

Berikutan itu, nelayan terbabit menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya bagi membendungnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Jabatan Perikanan Kedah memandang serius masalah kehadiran bot pukat rawa sorong yang dipercayai kembali menjalankan operasinya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment