Monday 28 July 2014

Sambutan Aidilfitri sederhana, hormati dua insiden pesawat MAS

Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara bersama lebih 14,000 jemaah.

KUALA LUMPUR: Umat Islam di seluruh negara hari ini menyambut ketibaan 1 Syawal secara sederhana sebagai menghormati dan berkongsi kesedihan susulan tragedi dua pesawat syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS), MH370 dan MH17.

Di ibu negara, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara bersama lebih 14,000 jemaah.

Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah di masjid itu pada 8.30 pagi diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, serta Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Turut hadir beberapa anggota kabinet dan dif-dif kehormat serta perwakilan asing.

Solat sunat itu diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom melaksanakan tugas sebagai khatib.

Sebagai tanda menghormati dan mengenang mangsa tragedi MH370 dan MH17, Perdana Menteri turut membatalkan Majlis Rumah Terbuka Anggota Jemaah Menteri Aidilfitri 2014 yang lazimnya diadakan di kediaman rasmi beliau di Seri Perdana, Putrajaya. 

Kerajaan juga membatalkan sambutan peringkat nasional.

Sebahagian kerajaan negeri juga mengambil langkah serupa.

Di PULAU PINANG, sambutan bermula dengan Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Rahman Abbas menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri bersama kira-kira 5,000 umat Islam, pada pukul kira-kira 8.45 pagi tadi.

Selesai menunaikan solat Aidilfitri, Rahman Abbas yang berbaju Melayu warna kuning cair meluangkan kira-kira 10 minit bersalaman dengan masyarakat sebelum berangkat pulang.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron menyertai kira-kira 5,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al Azim, di Bukit Palah di sini.

Idris bersama barisan exco kerajaan negeri kemudiaan mengadakan kunjungan ke Istana Melaka bagi berhari raya bersama Mohd Khalil.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud bersama-sama dua anakanda mereka, Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin dan Tunku Zain Al'Abidin menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, dekat sini.

Turut serta ialah Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mat Ali Hassan serta kira-kira 2,000 jemaah.

Tuanku Muhriz turut mengadakan majlis istana terbuka hari ini di Istana Besar Seri Menanti dari 10.30 pagi hingga 2 petang.

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan anakanda sulungnya Raja Azlan Muzaffar Shah bersama-sama kerabat diraja serta lebih 2,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar.

Berangkat sama Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di-Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Turut serta ialah Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Abdul Puhat Mat Nayan serta barisan Exco kerajaan negeri. 

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail serta Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid menyertai ribuan umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Negeri Arau.

Selepas solat baginda berdua berkenan menerima menghadap dif-dif kenamaan dan rakyat jelata pada majlis istana terbuka di Dataran Istana Arau dari 9 sehingga 11.30 pagi.

Di KELANTAN, Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra bersama umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi di Kota Bharu.

Turut serta Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Faudzi Che Mamat dan pegawai kanan kerajaan.

Di JOHOR, Sultan Ibrahim Ismail Sultan Iskandar diiringi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris, putera-puteranya dan kerabat diraja menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Baharu.

Turut serta Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz serta barisan Exco negeri.

Di PAHANG, Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 10,000 umat Islam di Masjid Negeri, Sultan Ahmad 1 di sini.

Turut berangkat Sultanah Pahang Sultanah Kalsom selain anggota Exco, dan pegawai kanan kerajaan negeri. Selepas selesai menunaikan solat orang ramai mengambil kesempatan untuk bersalaman dengan Sultan Pahang serta kaum kerabat baginda.

Di TERENGGANU, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri bersama kira-kira 2,000 umat Islam di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang di sini.

Mengiringi baginda ialah Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman serta pembesar-pembesar negeri. Selesai solat baginda berangkat menziarahi makam diraja di pekarangan masjid berkenaan.

Di KEDAH, Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehhuddin Sultan Badlishah berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Zahir di sini bersama lebih 1,000 jemaah sempena sambutan 1 Syawal kali ini. 

Tunku Sallehhuddin tiba di masjid kira-kira pukul 8.30 pagi diiringi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, kemudian turut meluangkan masa beramah mesra dengan rakyat selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri yang diimamkan Mufti Datuk Sheikh Baderudin Ahmad.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud menyertai ribuan umat Islam menunaikan sembahyang sunat Aidilfitri di Masjid Jamek, Petra Jaya di sini.

Turut serta ialah Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, beberapa menteri kabinet negeri, ketua jabatan dan orang kenamaan.

Abdul Taib kemudiannya mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman rasminya di Astana Negeri, Petra Jaya, manakala Adenan mengadakan rumah terbuka di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

Di SABAH, kira-kira 1,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni di Istana Negeri di sini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan anggota kabinet negeri, termasuk Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, majlis itu disambut tanpa persembahan muzik bagi mengenang tragedi MH17, yang dipercayai ditembak jatuh di Ukraine, dan konflik di Gaza.

Terdahulu, Juhar menunaikan solat sunat Aidilfitri berjemaah di Masjid Negeri.

Di Selangor Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menyertai hampir 10,000 umat Islam menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negeri.

Selesai menunaikan solat, Sultan Selangor berkenan bersalaman dengan rakyat.

Turut hadir Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Muhammad Khusrin Munawi. - Bernama

No comments:

Post a Comment