Monday, 28 July 2014

Azizul raih gangsa, hadiah pengubat rindu kepada anak sempena Aidilfitri

MOHD AZIZULHASNI: Saya sangat rindukan anak saya, memang sedih juga tidak dapat beraya dengan mereka.

GLASGOW: Jaguh berbasikal trek Mohd Azizulhasni Awang menghadiahkan pingat gangsa bagi acara keirin sebagai pengubat rindu kepada anak sempena sambutan 1 Syawal, Isnin.

Bagaimanapun beliau terkilan tidak dapat merealisasikan impian pingat emas di temasya Sukan Komanwel ke-20 di sini dan berharap seluruh keluarga serta rakyat Malaysia gembira dengan pencapaiannya di Velodrom Sir Chris Hoy pada Ahad.

Pingat emas acara itu dimenangi oleh Matthew Glaetzer dari Australia dan pingat perak pula menjadi milik Sam Webster dari New Zealand.

"Sasaran saya mahu meraih pingat emas namun mungkin pingat gangsa ini adalah rezeki saya di sini, saya berharap semua rakyat Malaysia gembira dengan pencapaian di sini.

"Memang saya membuat henjutan pada pusingan terakhir, saya yakin boleh meraih pingat emas atau perak, selepas lihat paparan keputusan di papan markah, saya di tempat ketiga. Kecewa juga sebab sasaran saya adalah lebih baik dari itu," kata Mohd Azizulhasni kepada pemberita di sini.

Mohd Azizuhasni berkata semangat dan sokongan keluarga mendorong beliau untuk meraih pingat buat kontinjen negara walaupun mengakui berasa sedih tidak dapat menyambut Aidilfitri bersama anak perempuannya, Amna Maryam, yang berusia dua tahun.

"Saya sangat rindukan anak saya, memang sedih juga tidak dapat beraya dengan mereka, selepas ini skuad basikal akan terus ke Jerman, jadi saya akan jumpa anak dan isteri semasa Sukan Asia di Korea Selatan, September ini.

"Saya sempat 'facetime' (panggilan video) dengan anak dan keluarga sebelum perlumbaan tadi," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment