Monday, 28 July 2014

Jangan suruh saya tabah, kata anak ketua pramugari MH17


Nur Diyana Yazeera Yezli merupakan anak tunggal ketua pramugari pesawat MH17 yang ditembak puak pemberontak pro Rusia 17 Julai lalu. – Gambar Twitter, 28 Julai, 2014."Jangan suruh saya tabah. Cakap saja senang, tapi sebenarnya sangat susah," kata Nur Diyana Yazeera Yezli, 15, menggambarkan perasaannya menyambut Syawal tanpa ibunya, Dora Shahila Kassim yang terlibat dalam nahas pesawat MH17.

Nur Diyana dalam akaun Twitter miliknya menyatakan rasa sedih, marah dan hiba kerana sambutan raya tidak lagi sama selepas kehilangan ibunya dalam insiden 17 Julai lalu.

"Ibu, raya tahun ini dan seterusnya tidak akan sama. Saya tidak akan menyambutnya tanpamu.

"Ketika orang lain menyambut raya dengan ibubapa mereka, hari raya bagi saya tidak ada bezanya dengan hari lain," katanya sambil menambah sakit asmanya kembali menyerangnya baru-baru ini.

Remaja itu merupakan anak tunggal ketua pramugari MH17, Dora yang menjadi sebahagian daripada 298 mangsa nahas MAS Boeing 777-200ER ketika melintasi kawasan konflik di timur Ukraine.

Menganggap ibunya sebagai “superhero”, Diyana berikrar untuk meneruskan legasi kerjaya ibunya dan tidak akan membenarkan sesiapa pun lupakan tragedi itu.

Hari ini, beliau meluahkan perasaan marah apabila melihat orang lain menyambut raya bersama sebagai satu keluarga.

"Saya rasa marah melihat semua orang menyambut raya bersama keluarga. Saya tahu saya tidak adil tetapi saya hanya meluahkannya saja," katanya dalam Twitter.

Dora, yang juga ibu tunggal, antara 15 kakitangan penerbangan MAS yang terlibat dalam nahas itu.

Seramai 43 warga Malaysia menjadi mangsa serangan peluru berpandu yang ditembak puak pemberontak pro Rusia.

Diyana pada Sabtu lalu dalam pertemuannya selama tiga jam dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor di kediaman rasmi Seri Perdana di Putrajaya turut berterima kasih kerana dapat berjumpa dengan pemimpin utama negara.

"Baru pulang daripada rumah Perdana Menteri. Beliau secara peribadi mengambil masa duduk bersama saya dan memberikan kata-kata nasihat. Saya menghargainya," katanya dalam twitter.

Dalam statusnya yang lain, dia berkata: “Kami akan menjaga kamu. Tak kira apa pun terjadi – Datuk Seri Najib dan keluarga.”

Beliau turut memuat naik beberapa keping gambar pertemuan itu, termasuk ketika Najib membongkok melihat iPad yang dibeli untuk Diyana, sebelum menyiarkan status berterima kasih kepada Najib kerana menjemputnya ke rumahnya. – Malaysia Insider, 28 Julai, 2014.

No comments:

Post a Comment