Monday, 28 July 2014

Ragam raya: Penyampai Suria Fm kongsi suka duka

Ragam raya: Penyampai Suria Fm kongsi suka duka

SETELAH setahun berlalu, kini Aidilfitri kembali lagi! Teruja dengan sambutan itu, penyampai Suria Fm turut tidak ketinggalan berkongsi kisah suka duka menjelang hari raya!

Lain orang, lainlah caranya. Kehadiran 1 Syawal sememangnya dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia.

Tibanya Aidilfitri juga menandakan kemenangan buat umat Islam setelah sebulan menjalani ibadah puasa.

Tidak kira bercuti atau bertugas, sambutan hari raya pasti memiliki ceritanya yang tersendiri.

Begitu juga dengan penyampai-penyampai stesen radio Suria Fm iaitu Halim Othman, Linda Onn, Bob Ringgo, Dj Lin dan Adibah Noor yang turut berkongsi kisah menyambut hari penuh kemaafan ini.

‘Mandi tujuh perigi’ kenangan manis pagi raya Halim Othman

Jika ditanya momen indah pagi raya, pasti setiap individu memiliki cerita mereka yang tersendiri.

Bagi penyampai Halim Othman, merasai bahang sambutan Aidilfitri yang bakal tiba banyak mengingatkan dia kepada kenangan zaman kanak-kanaknya.

“Kalau zaman dulu-dulu, bila tiba hari raya macam-macam perkara yang kita buat dan perkara yang paling saya ingat adalah mandi tujuh perigi di pagi hari raya.

“Apa yang ayah saya katakan mandi tujuh perigi adalah amalan orang dulu-dulu di mana ia adalah simbolik untuk memberi kesegaran pada diri pada pagi raya.

“Mungkin ada yang tidak pernah tahu mengenai amalan ini tapi bagi saya ia satu pengalaman yang tidak akan saya lupakan sampai bila-bila,” ujarnya sambil tersenyum.

Pada masa yang sama, Halim turut berkongsi perasaan bertugas di konti pada hari raya pertama memandangkan tahun ini gilirannya menceriakan pendengar.

“Biarpun beraya di kampung lebih meriah, tapi menyambut Aidilfitri di konti juga ada keseronokannya yang tersendiri.

“Apa yang seronoknya, bila kita dapat berhubung dengan pendengar daripada seluruh negara yang membuat panggilan untuk berkongsi suasana hari raya mereka.

“Alhamdulillah, selepas 15 tahun bergelar penyampai, keluarga cukup memahami kerjaya saya dan beraya di konti juga sudah menjadi kebiasaan buat saya,” katanya.

Bob teruja layan keletah anak

Setiap kali sambutan hari raya pasti ada kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.

Buat penyampai slot ‘Selamat Malam Suria’, Bob Ringgo kehadiran cahaya mata, Aryan Aish Rifqy, 2 yang semakin membesar bakal memeriahkan suasana hari rayanya sekeluarga.

“Alhamdulillah, tahun ini memang saya sangat teruja menyambut hari raya. Selain cuti hari raya saya diluluskan, tahun ini juga saya dapat beraya di samping isteri dan anak yang semakin membesar.

“Kalau tahun lalu Aryan baru berusia setahun, tapi kali ini pasti lebih meriah dengan keletahnya dan inilah keistimewaan sambutan raya saya,” katanya.

Tambah Bob, hari rayanya juga tidak meriah jika tidak merasai juadah raya yang disediakan neneknya di kampung.

“Selepas beraya di rumah mertua yang terletak di Petaling Jaya, saya akan pulang beraya di Rengit, Batu Pahat.

“Seperti biasa, juadah kegemaran ayam pencen masak kicap dari nenek saya antara perkara yang saya tunggu-tunggu,” selorohnya.

Gembira dalam sayu- Linda Onn

Kali pertama bermaaf-maafan bersama suami tercinta adalah antara momen yang dinanti-nantikan penyampai dan pengacara, Linda Onn.

Walaupun teruja melalui suasana seperti itu, Linda akui hatinya sedikit terusik apabila mengenangkan ayahandanya yang kini berada di pangkuan Illahi.

“Apa yang boleh saya katakan, perasaan saya ketika ini adalah bercampur baur. Ini adalah raya ke dua tanpa ayah dan kali pertama melaluinya, saya memang tidak dapat gambarkan perasaan ketika itu.

“Tahun ini ayah tidak bersama kami tapi pada masa yang sama, saya ada suami. Jadi perasaan itu bercampur baur.

“Perasaan itu tidak terubat kerana tempat seorang ayah tiada gantinya,” ujarnya.

Dalam pada itu, ditanya keistimewaan raya tahun ini, Linda akui sambutan Aidilfitri tahun ini bakal memberinya banyak pengalaman indah bergelar seorang isteri.

“Sebelum ini memang setiap tahun saya dan keluarga beraya di rumah abang saya di Johor Bahru. Pada kebiasaannya, selepas habis beraya bersama keluarga, saya akan ikut kakak dan abang beraya di rumah mertua mereka.

“Tapi tahun ini saya dapat rasa beraya di rumah mertua sendiri dan ini pengalaman pertama saya.

“Dan saat yang paling teruja adalah bermaaf-maafan dan mencium tangan suami di pagi raya,” tuturnya teruja.

Raya paling perit - Adibah Noor

Dalam kemeriahan menyambut hari kemenangan ini, penyanyi dan penyampai, Adibah Noor mengambil langkah meraikannya secara sederhana akibat terkesan dengan tragedi yang menimpa negara.

“Saya rasa raya tahun ini adalah raya paling perit. Kita semua baru bangkit daripada insiden MH370 dan saya rasa rata-rata rakyat Malaysia sudah bangun dan mulai terima hakikat tiba-tiba kita dikejutkan dengan kes penculikan di Sabah dan pada masa yang sama kekejaman di Gaza turut memberi kesan buat masyarakat di negara ini.

“Belum reda dengan perkara itu, dugaan datang bertimpa apabila kita sekali lagi dikejutkan dengan insiden MH17.

“Berikutan tragedi yang menimpa negara kita ini, saya tidak rasa sambutan raya tahun ini akan meriah. Saya sendiri ambil langkah untuk raikannya secara sederhana kerana ia benar-benar beri kesan pada saya,” jelasnya.

Tambah Adibah lagi, sambutan hari raya kali ini dia bakal bertugas di konti dan hanya akan bercuti minggu ke dua Syawal.

“Sama seperti tahun lalu, saya akan bertugas pada hari raya pertama di konti dan ia tidak mendatangkan masalah memandangkan keluarga saya pun tidak berada di Malaysia.

“Setiap kali Ramadan, ke dua ibu bapa dan kakak saya akan menunaikan umrah dan sambut hari raya di sana bersama keluarga adik lelaki yang menetap di sana.

“Saya sudah biasa beraya sendirian lagi pun itulah peluang ibu bapa saya bertemu cucu mereka di sana. Kalau ada masa lapang, saya juga akan mengunjungi saudara mara di Ipoh,” katanya panjang lebar.

Konvoi bersama peminat – Dj Lin

Walaupun keluarga menjadi keutamaan untuk bersama-sama meraikan hari raya, penyampai Dj Lin juga tidak pernah melupakan peminat yang sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Demi menghargai sokongan yang tidak pernah putus itu, Dj Lin memberitahu tahun ini dia masih meneruskan aktiviti bersama peminatnya iaitu ‘Konvoi Raya Bersama Dj Lin’.

“Sebenarnya aktiviti ini sudah tiga tahun saya anjurkan konvoi ini. Biasanya kita akan berkunjung ke beberapa lokasi seluruh semenanjung untuk beraya di rumah peminat yang bertuah.

“Pengalaman seperti ini memang seronok kerana itulah peluang saya bertemu dengan peminat di seluruh negara. Layanan yang mereka berikan juga buat saya terharu dan saya hargai jasa mereka sentiasa meyokong saya dari belakang,” katanya.

Kata ibu kepada Nazreen Asyran , 11, Nureen Aresya,13, tahun ini juga adalah raya yang istimewa buat dirinya kerana berpeluang meraikan hari lebaran di samping keluarga tercinta di Larkin, Johor Bharu.

“Alhamdulillah, tahun ini saya berpeluang berkumpul dengan sepuluh adik-beradik dan lebih kurang 40 anak saudara.

“Inilah saat-saat yang saya nantikan kerana peluang dapat berkumpul seperti ini memang jarang. Jadi saya mahu manfaatkan masa yang ada untuk bersama keluarga dan anak-anak,” ujarnya. - Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment