Sunday, 13 April 2014

Warga asing sembunyi dalam longkang

Warga asing sembunyi dalam longkang
Masri (berdiri, dua, kanan) melakukan pemeriksaan.


JOHOR BAHRU - Seramai 35 warga asing ditahan Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Johor dalam serbuan di Kampung Hajjah Fatimah, Tampoi, kelmarin.

Serbuan jam 2 pagi itu disertai 60 anggota dan pegawai Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor, Masri Adul berkata, serbuan dilakukan susulan aduan awam diterima pihaknya berhubung kewujudan penempatan dan perkampungan warga asing.

“Seramai 35 warga asing yang ditahan terdiri daripada 33 Indonesia dan dua Bangladesh yang berusia 14 hingga 46 tahun.

“Antara kesalahan dilakukan adalah tinggal lebih masa dan tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah ke negara ini," katanya semalam.

Masri berkata, ketika serbuan, kebanyakan warga asing yang bekerja sebagai buruh binaan dan pekerja kilang di sekitar bandar raya ini sedang nyenyak tidur.

“Apabila menyedari lokasi penempatan diserbu, ada yang cuba melarikan diri dan bersembunyi di atas siling, celah pintu dan bilik air.

“Malah ada juga bersembunyi dalam longkang bagi mengelak daripada dicekup, namun kesemuanya berjaya ditahan," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta imigresen 1959/63.

Masri turut menasihatkan warga tempatan tidak menyewakan rumah kepada warga asing yang tidak memiliki dokumen sah kerana tindakan tegas akan diambil.

Semua warga asing dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Imigresen Johor Setia Tropika untuk tindakan lanjut.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment