Sunday, 13 April 2014

Kemalangan bas Bentong: Tindakan tegas akan diambil - SPAD


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menjalankan siasatan terperinci ke atas syarikat bas yang terlibat dalam kemalangan bus di Bentong pada hari Sabtu.

Dalam kejadian jam 12.30 pagi itu, tiga penumpang maut dan 65 cedera apabila bas dua tingkat itu terbabas dan terbalik di KM11, Jalan Bentong-Raub ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.

“Pihak SPAD tidak akan berkompromi dan pasti mengambil tindakan tegas ke atas pengendali sekiranya mereka melanggar syarat - syarat yang termaktub dalam pekeliling serta Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” kata pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar dalam satu kenyataan media pada hari Ahad.

Sebagai tindakan segera, SPAD akan meneliti secara terperinci segala aspek pengurusan keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan syarikat terbabit.

Kemalangan di Bentong itu berlaku berhampiran kawasan tragedi bas Genting Highlands tahun lepas yang meragut 37 nyawa.

Berikutan insiden itu, SPAD telah mengeluarkan Pekeliling mengenai pelaksanaan kod amalan industri bagi keselamatan pengendali bas yang beroperasi di kawasan tanah tinggi pada 20 Ogos 2013 dimana ianya memberi penekanan serius kepada aspek keselamatan kenderaan yang beroperasi di tanah tinggi.

Selain itu, Pekeliling mengenai SPAD ICOP - Keselamatan juga telah dikeluarkan pada 9 September 2013 yang mempertanggungjawabkan pengendali untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala.

Setakat ini, sebanyak 2300 syarikat pengendali bas telah menghadiri latihan SPAD ICOP – Keselamatan yang telah dijalankan sejak Disember 2012.

Selain itu, pihak SPAD juga telah menjalankan pengauditan ke atas 24 syarikat bas ekspres yang terlibat dalam kemalangan jalanraya sejak pertengahan tahun 2013.

Hasil siasatan tersebut, SPAD telah menggantung sebanyak enam lesen pengendali dan membatalkan dua permit pengendali yang didapati bersalah atas kesalahan-kesalahan tertentu dibawah SPAD ICOP - Keselamatan dan APAD 2010.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment