Abdul Khalid bersama pimpinan dan ahli PKR Kedah hari ini.
ALOR SETAR - Bukan semua cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim diterima bulau-bulat, tegas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
“Ada cadangan Anwar yang saya boleh terima dan ada juga cadangan dia yang saya dengar tapi tak terima,” katanya.
Menurutnya, tindakan itu bukan satu kesalahan atau kebiadaban tetapi menunjukkan sikap seorang pemimpin yang boleh menerima cadangan dan kritikan.
Bagaimanapun, beliau beranggapan Ketua Umum PKR itu adalah seorang pemimpin yang sangat cekap dalam berpolitik.
“Saya juga nak menyumbang pengalaman saya dan apa yang saya lakukan di Selangor untuk parti. Itu yang saya mahu dan rasa boleh jadi gandingan dengan Anwar dan Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Siapa saja jadi Presiden PKR, saya tiada masalah sebab kami boleh bergandingan. Walaupun saya rapat dengan Anwar tetapi saya tak dengar cakap Anwar 100 peratus walaupun dia nampak seolah-olah saya sedang mendengar,” katanya pada program kasih bertaut di rumah pangsa Sri Gemilang, Mergong, di sini, hari ini.
Menurutnya, PKR perlu melakukan pembaharuan supaya boleh bersaing dengan kerajaan persekutuan.
“Dalam kepimpinan kita mesti ada orang yang boleh berbincang dan bukan jadi pak turut saja. Saya rasa, Anwar perlu ada rakan-rakan seperti itu dan kita mesti ada keseimbangan untuk mentadbir.
“Saya ada pengalaman mentadbir, pengurusan harta dan tenaga manusia manakala Anwar pula cekap dalam politik. Keseimbangan ini boleh membantu kita tawan Putrajaya pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Sinar Harian
No comments:
Post a Comment