Sunday, 13 April 2014

MH370: 37 hari, 0 penemuan setakat ini

MH370: 37 hari, 0 penemuan setakat ini

HARI ini genap 37 hari pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac lalu dan tumpuan kini terarah kepada pencarian kotak hitam pesawat tersebut di selatan Lautan Hindi.

Misi utama pasukan mencari dan menyelamat (SAR) adalah mengambil data dari kotak hitam pesawat untuk merungkai misteri kehilangan pesawat MAS ini.

Bagi yang mengikuti perkembangan, pastinya itulah persoalan akan sentiasa bermain di minda mereka.

Begitu pun sehingga kini ia masih lagi menjadi tanda tanya kerana misi mencari kotak hitam akan berdepan pelbagai kesukaran memandangkan situasi Lautan Hindi yang misteri.

Laut Hindi sukar ditawan

Kedalaman Lautan Hindi mencecah hampir 7,000 meter (m) di sesetengah kawasan, pasti akan memberi cabaran besar kepada usaha mencari serpihan dan kotak hitam itu.

Lautan ketiga terbesar di dunia dan terkenal dengan jolokan The Lonely Ocean itu terlalu dalam. Ia hampir menyamai dua kali ganda ketinggian Gunung Kinabalu di Sabah, puncak paling tinggi di Malaysia, dengan 4,095m tinggi!

Pencarian di selatan Lautan Hindi lebih kompleks kerana kawasan itu jarang dikaji dari segi topografinya memandangkan ia tidak mempunyai kepentingan ekonomi dan komersial.

Maklumat sedia ada itu merupakan perkara asas hasil kajian oseanografi secara meluas. Topografi di dalam lautan itu sama seperti topografi di darat yang mempunyai banjaran gunung, lurah kedalaman tinggi dan mungkin juga gunung berapi.

Sepanjang operasi pencarian MH370, pelbagai cabaran terpaksa diharungi dengan keadaan laut bergelora, ombak ganas yang mampu mencapai ketinggian sehingga 10 ke 15 meter, taufan Haiyan dan keadaan dasar Lautan Hindi yang berkeladak dan gelap sekali gus menambah kesukaran pencarian.

Ia lebih diburukkan lagi dengan cuaca teruk dan keadaan yang amat sejuk memandangkan lokasi tersebut terletak di zon peralihan antara daerah subtropika tenang dengan kawasan pusaran sejuk sekitar Kutub Selatan.

Bekas penasihat penerbangan tentera Universiti Newcastle, Martin Babakhan memberitahu, peralihan musim sudah bermula dan ini bererti udara sejuk dari Antartika bergerak ke atas dan udara panas bergerak ke bawah mewujudkan cuaca itu.

Malah, seorang pakar antarabangsa mendakwa, tiada jaminan bangkai pesawat Boeing 777-200ER milik MAS itu akan ditemui semula.

SAR MH370 bukan misi biasa

Operasi SAR bukan sekadar sebuah misi biasa. Sudah tentu ia digerakkan pasukan pencarian terlatih dengan kemudahan aset canggih.

Namun peluang untuk menemui serpihan pesawat dan kotak hitam adalah amat sukar kerana proses untuk mendapatkan imej tepat adalah sesuatu merumitkan kerana pencarian bukan menggunakan mata kasar.

Bukan hanya kekangan faktor-faktor seperti yang disebutkan sebelum ini, keselamatan anggota pencarian juga perlu diambil kira.

Mereka yang menyertai misi SAR ini berdepan risiko dan bahaya sepanjang operasi. Pasukan yang terdiri daripada anggota pihak berkuasa 26 negara terpaksa meredah lautan terbentang luas, memusatkan pandangan terhadap sebarang objek dan peka dengan cuaca bagi mengesan petanda yang dapat dikaitkan dengan MH370.

Perkara itu bukan mudah untuk dilakukan dan memerlukan ketekunan dan ketelitian.

Berdasarkan pengalaman seorang wartawan yang mengikuti operasi SAR, perjalanan ke selatan Lautan Hindi daripada Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang Jaya menaiki P-3 Orion milik Tentera Laut Amerika Syarikat (AS), mengambil masa tujuh jam untuk pergi dan balik.

Kira-kira tiga jam dihabiskan untuk meninjau lokasi yang ditetapkan di kawasan carian seluas 25,000 batu nautika persegi untuk mengesan sebarang petunjuk yang dapat dikaitkan dengan MH370. Kadang kala, tiada penemuan baharu untuk hari tertentu kerana kekangan tersebut.

Isyarat detik konsisten dengan kotak hitam

Bermula 4 April lalu, usaha menjejaki MH370 memasuki fasa baharu dengan pencarian di dalam air bagi mengesan kotak hitam di selatan Lautan Hindi.

Meskipun jangka hayat bateri kotak hitam sudah lenyap, namun pihak SAR masih lagi meneruskan operasi pencarian menggunakan alat pendengaran berteknologi tinggi dipinjamkan Tentera laut AS, Towed Pinger Locator.

Kemudian, kapal peronda China, Haixun 01 dan Kapal Pertahanan Australia (ADV) Ocean Shield berjaya mengesan beberapa isyarat detik konsisten dengan isyarat dipancarkan dari kotak hitam sebuah pesawat.

Akhirnya, pakar di Australia dan AS mengesahkan bahawa isyarat detik yang dikesan kapal-kapal mencari pesawat MAS itu merupakan peranti buatan manusia, bukan bunyi semula jadi lautan dan ia daripada perakam data penerbangan sebuah kotak hitam, namun tidak dapat disahkan sama ada ia milik MH370 atau bukan.

Bagaimana jika isyarat tiada lagi?

Semalam, Pusat Penyelaras Agensi Bersama (JACC) Australia mengesahkan tiada sebarang isyarat akustik dikesan dalam tempoh 24 jam lalu, di kawasan pencarian pesawat MH370 di selatan Lautan Hindi.

Menurut JACC, berdasarkan pengesanan beberapa objek oleh pesawat dan kapal ketika operasi SAR kelmarin, hanya beberapa daripadanya berjaya diambil namun tiada satu pun disahkan ada kaitan dengan MH370.

Menurut JACC, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (Amsa) merancang meneruskan pencarian di kawasan seluas 41,393 kilometer persegi, 2,331 kilometer ke barat laut Perth.

"Kapal Ocean Shield akan menumpukan usaha mengesan isyarat kotak hitam pesawat, manakala pesawat AP-3C Orions meneruskan pencarian akustik," menurut JACC menerusi satu kenyataan.

Jika benar isyarat kotak hitam tiada lagi, pasukan SAR perlu membuat plan B bagi memastikan operasi pencarian dapat diteruskan.

Teknologi sukar tandingi ketentuan ALLAH

Sehingga hari ini, pesawat MH370 mahupun kotak hitam pesawat itu masih belum dijumpai dan ia menunjukkan kecanggihan teknologi tidak mampu menandingi kuasa ALLAH.

Perkara itu diakui bekas Ketua Bahagian Pesawat Boeing 777 MAS, Kapten Norudin Abdul Majid ketika ditemu bual dalam sebuah program televisyen, sebelum ini.

Katanya, jika teknologi sains yang digunakan tidak berjaya, seharusnya kita menggunakan kaedah lain.

“Kita perlukan doa orang-orang soleh dan ahli keluarga. Benda ini (kehilangan pesawat MH370) ada kaitan dengan sains dan pencipta sains itu sendiri (ALLAH),” katanya.

Mengulas pertanyaan lokasi kehilangan MH370, beliau berkata; “Kita orang beriman, ALLAH SWT menentukan segala-galanya, dunia ini kepunyaan pencipta. ALLAH memberikan kita segala cara dan kunci untuk menemui apa saja. Jadi kita mestilah menggunakan kebolehan, pengetahuan, kepakaran, orang-orang tertentu untuk mencari pesawat”.

Sebaik-baik perancang adalah ALLAH. Teruskan berdoa supaya pesawat MH370 ditemui kelak.

---------------------------------------------------------------------------------
Kupasan dan ulasan berita oleh: Sinar Harian, 13 April 2014

No comments:

Post a Comment