W Thiruselvan, 38, (kanan) dan Mohd Jefry Rahmat, 29, (tengah) di Mahkamah Majistret di Klang hari ini. - Foto Bernama
KLANG - Seorang operator kren mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap pertuduhan cuba membunuh seorang anggota polis dengan menikamnya menggunakan pisau di Taman Kandis Permai di sini, Februari lepas.
W. Thiruselvan, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Fadhly Yaakob.
Tertuduh didakwa cuba membunuh Lans Koperal Anwar Jaharuddin di Jalan Samarinda 5C, Taman Kandis Permai, pada 7.40 pagi, 21 Februari lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan Thiruselvan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba membunuh diri dengan menggantung dirinya menggunakan kain pelekat di lokap Balai Polis Klang di sini pada 3 pagi, 28 Februari lepas.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 21 Februari lepas.
Selain itu, Thiruselvan dan seorang lagi tertuduh, Mohd Jefry Rahmat, 29, dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan bersama-sama memiliki sebuah lori curi di Jalan Samarinda 5C, Taman Kandis Permai, pada 7.40 pagi, 21 Februari lepas.
Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta denda.
Mohd Jefry turut dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan dua sebatan selepas dia mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki senjata berbahaya iaitu sebatang besi tajam berukuran 10 inci dan menghalang Koperal Anwar menjalankan tugas di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman berkuatkuasa dari tarikh dia ditangkap pada 29 Mac lepas.
Pendakwaan bagi kesemua kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aida Zainuddin. - Bernama
No comments:
Post a Comment