KUALA LUMPUR: Bekas menteri kabinet Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak tahu sama ada Tun Dr Mahathir berada di Kuala Lumpur atau tidak semasa peristiwa Memali, 29 tahun dahulu.
"Saya tak ingat, sebenarnya saya tak ingat. Ya, saya pada ketika itu menteri kabinet, Menteri Kewangan.
"Tetapi saya tidak tahu bagaimana peristiwa itu berlaku, saya hanya baca di suratkhabar. Adakah dia pergi ke China?" kata beliau yang merupakan ahli Parlimen Gua Musang.
Kata Tengku Razaleigh, insiden itu berlaku sangat lama dahulu dan menurutnya tanpa mengetahui fakta sebenar, beliau enggan mengulas lanjut.
Insiden Memali di Baling sekali lagi menjadi perhatian apabila bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam mendakwa Tun Mahathir yang merupakan Perdana Menteri pada ketika itu berada di Kuala Lumpur semasa peristiwa tersebut dan bukannya di China seperti yang dikatakan sebelum ini.
Ketika kejadian yang mengorbankan 14 nyawa penduduk kampung itu, Musa turut memegang jawatan Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
"Saya rasa mungkin anda patut tanya kedua-dua mereka (Tun Mahathir dan Tun Musa). Salah seorang dari mereka pasti berkata yang benar," tambahnya.
Peristwa berdarah di Kampung Memali, Kedah itu berlaku pada 19 November 1985. Selain 14 orang terkorban dan berpuluh yang lain tercedera, polis juga menahan ratusan penduduk kampung berkenaan yang dikatakan pengikut Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya.
Pertempuran antara pihak Polis dan penduduk kampung Memali berlaku apabila Ibrahim Libya cuba ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana didakwa mengamalkan ajaran sesat.
Musa merupakan individu yang dipersalahkan dalam kejadian tersebut atas kapasitinya sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Namun, ada juga pihak sebelum ini mendakwa Musa mengeluarkan arahan supaya polis bertindak keras ke atas penduduk Kampung Memali kerana mendapat arahan dari Dr Mahathir yang dikatakan berada di China.
Astro Awani
No comments:
Post a Comment