NEW DELHI - Datuk Lee Chong Wei menjadi tunggal negara dalam Kejohanan Badmintion Siri Super Terbuka India selepas beregu wanita dan campuran terkandas di peringkat suku akhir di sini, hari ini.
Chong Wei, selaku juara bertahan dan pemain pilihan utama kejohanan, tidak berdepan dengan masalah untuk melangkah ke separuh akhir apabila menewaskan pemain India Kashyap Parupalli 21-15, 21-13 dalam pertarungan selama 40 minit.
"Dia adalah lawan yang sukar berbanding pencabar lain sebelum ini. Saya melakukan banyak serangan dan pantas untuk menamatkan perlawanan ini," kata pemain nombor satu dunia itu.
Chong Wei akan menentang pemain pilihan ketujuh, Du Pengyu dari China pada separuh akhir esok.
Pengyu melangkah ke separuh akhir selepas menumpaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen 21-11, 22-24, 21-19 dalam saingan selama 68 minit.
Dalam satu lagi perlawanan separuh akhir perseorangan lelaki, pemain pilihan kedua, Chen Long dari China akan bertemu dengan pemain Denmark, Jan O Jorgensen.
Sementara itu, hasrat beregu wanita Vivian Hoo/Woon Khe Wei untuk mara ke separuh akhir tidak kesampaian apabila mereka tewas kepada beregu Korea Selatan, Jung Kyung Eun/Kim Ha Na 9-21, 17-21.
Turut mengalami nasib yang sama adalah beregu campuran negara Chan Peng Soon/Lai Pei Jing yang kalah dalam 'rubber-set' kepada gandingan Korea Selatan, Ko Sung Hyun/Kim Ha Na 15-21, 21-19, 10-21. - Bernama
No comments:
Post a Comment