KUALA LUMPUR: Empat badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan memorandum bantahan terhadap dua agensi berita dari Amerika Syarikat (AS) yang didakwa membuat liputan berita tidak tepat serta tanggapan buruk terhadap Malaysia berkenaan tragedi pesawat MH370.
Empat NGO itu ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM), Yayasan Media Malaysia (MMF), Persatuan Pengguna Islam Antarabangsa (IMCA) dan Batas Malaysia (Bersekutu).
Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan mendakwa dua agensi berita iaitu Cable News Network (CNN) dan Fox News bukan sahaja mengeluarkan berita tidak tepat malah tidak mempunyai etika kewartawanan dalam liputan tragedi MH370.
"Media mempunyai kebebasan, tapi janganlah melampau sehingga menyebarkan pembohongan.
"Pengamal media perlu lebih bertanggungjawab dalam penulisan berita, kerana berita yang tidak benar boleh mencetus keadaan tidak tenteram dalam kalangan masyarakat," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil kedutaan AS di sini, kira-kira 3.30 petang.
Beliau berkata, sebagai pengamal media yang profesional, kedua-dua agensi berita itu perlu membuat kajian sebelum mengeluarkan berita berkenaan.
Nadzim berkata, sebagai contohnya, wartawan CNN yang membuat liputan berita itu tidak mempunyai pengetahuan mengenai negara ini dan melaporkan Kuala Lumpur terletak di Indonesia.
Sementara itu, Presiden MMF Dzulkarnain Taib melahirkan rasa kesal terhadap agensi itu yang didakwanya gagal mematuhi etika kewartawanan.
"Kita (MMF) sedia menawarkan latihan asas kewartawanan secara percuma terutamanya kepada CNN dan Fox News," katanya.
Beliau menambah, tindakan pengamal media terbabit diumpamakan sebagai 'pelacur' kewartawanan.
Kira-kira 100 penyokong NGO itu berkumpul di hadapan bangunan kedutaan itu sambil memegang kain rentang tertera perkataan: "malaysia is not a terrorist country, stop spreading lies about Islam and Malaysia" dan "CNN & Fox News Channel Boicott".
Beberapa anggota polis berkawal di sekitar bangunan itu bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku.
Pesawat Malaysia Airlines MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac lepas, kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL di Sepang pada 12.41 tengah malam.
Hasil penyiasatan dan analisis data satelit, perjalanan pesawat itu dirumuskan berakhir di selatan Lautan Hindi. Operasi mencari masih diteruskan dengan kerjasama pelbagai negara.
Bernama
No comments:
Post a Comment