Friday, 4 April 2014

Penembak hendap terpaksa tinggalkan lokasi

KOTA KINABALU - Sekumpulan penembak hendap VAT69 terpaksa meninggalkan tugasan mereka memantau dua punca air dan simpang tiga jalan tanah merah ke Kampung Tanduo, Lahad Datu buat sementara waktu selepas berlaku pertempuran di kawasan itu pada 1 Mac tahun lepas.

Komander kumpulan VAT69 itu, Inspektor Rosli Wahab berkata bimbang dengan keselamatan pasukannya, beliau mengarahkan mereka berundur 100 meter dari lokasi tugasan masing-masing pada kira-kira 5.30 petang sehingga 6 pagi hari berikutnya.

Beliau berkata lokasi mereka, yang terletak 400 hingga 500 meter dari telaga dan parit serta kira-kira 300 meter dari jalan tanah merah terbabit, diketahui penceroboh selepas mereka terlibat dalam kejadian tembak-menembak pada kira-kira 10 pagi, 1 Mac.

"Masa saya memberi arahan tembak kepada sebahagian anggota saya, penceroboh bersenjata seramai tujuh atau lapan orang itu (di simpang tiga) tidak mengetahui kedudukan kami).

"Hanya apabila anggota saya menembak (ke arah penceroboh), barulah mereka nampak ke arah kami dan membalas tembakan)," katanya.

Selepas pertempuran, Rosli berkata beliau nampak tiga penceroboh mati ditembak pasukannya, menerusi teropong.

Kepada satu soalan peguam Datuk N. Sivananthan, Rosli berkata meskipun berada tidak berapa jauh dengan lokasi pegawai atasannya, Superintendan Mancha Anak Ata dan Deputi Superintendan Hakemal Hawari serta Markas Taktikal VAT69 di Felda Sahabat 16, beliau tidak menghubungi mereka menerusi walkie-talkie.

Sebanyak 30 tertuduh terdiri daripada 27 warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan dalam kes ini.

Mereka berdepan pelbagai tuduhan iaitu menjadi anggota kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara 12 Februari dan 10 April 2013.

Perbicaraan di depan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung 14 April depan. - Bernama

No comments:

Post a Comment