Keadaan bas yang terbalik dan terjunam ke tapak projek pembinaan selepas merempuh penghalang plastik yang diletakkan pemaju Lebuhraya Plus. - Foto ihsan SUHAIRI SHAHRIN.
KUALA LUMPUR - Lapan pelajar Universiti Islam Antarabangsa cedera parah, manakala 17 yang lain cedera apabila bas yang dinaiki terbabas di Km 25.1 dari arah utara Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) jam 9.30 pagi.
Dalam insiden, bas terbabit telah merempuh penghalang plastik yang diletakkan bagi kerja-kerja projek pembinaan dan pelebaran jalan oleh pihak Plus.
Menurut sumber polis, bas tersebut dalam perjalanan menuju ke Shah Alam bagi tujuan sesi lawatan selama sehari ke Taman Pertanian Bukit Cerakah.
Difahamkan, pemandu bas berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan serius dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh bagi mendapatkan rawatan.
Menurut seorang petugas lebuh raya, Suhairi Shahrin, semasa insiden terjadi tapak projek tersebut dikatakan lengang tanpa kehadiran pekerja kerana semuanya sedang bercuti.
"Sejurus selepas kemalangan berlaku, pihak bomba dan para petugas Lebuhraya Plus tiba di tempat kejadian dan mula membantu mangsa yang tersepit keluar dari perut bas.
"Kesemua petugas dan anggota penyelamat termasuk sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan kesemua mangsa, lokasi kejadian yang agak berlumpur akibat hujan dan tanah basah menyukarkan dan melambatkan misi menyelamat," katanya ketika ditemui wartawan Sinar Harian Online, hari ini.
Polis masih mengenal pasti punca kejadian dan kes masih dibawah siasat pihak berkuasa.
Kemalangan yang berlaku mengakibatkan lorong kiri lebuh raya terbabit ditutup manakala trafik dilaporkan perlahan di kedua-dua arah. -- Sinar Harian
No comments:
Post a Comment