Wednesday, 12 March 2014

Usaha habis-habisan dalam pencarian MH370 - Najib

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Rakyat diminta bertenang, bersabar dan berdoa kepada Allah agar pesawat MH370 dapat ditemui.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pencarian pesawat itu tidak hanya memerlukan usaha melalui peralatan dan teknologi canggih tetapi pertolongan Allah.

"Tawakal adalah prinsip orang Islam yang beriman, jangan kita tidak berusaha kerana berusaha itu juga adalah perintah Allah.

"Kita telah lakukannya secara besar-besaran, kita telah tambah pesawat dan kapal dengan peralatan canggih, saya yakin lambat laun kita akan jumpa juga tetapi persoalannya bila, sekarang ini kita kena bersabar, berdoa dan Insyaallah kita akan jumpa," katanya.

Najib berkata demikian dalam program secara langsung Assalamualaikum terbitan TV Alhijrah di sini.

Jelas Najib, Kerajaan sentiasa berusaha dengan kemampuan yang ada dalam misi pencarian pesawat berkenaan.

"Kita perlu hadapi dengan tenang dan berusaha sedaya upaya kemampuan yang ada.

"Bukan kerajaan sahaja namun ia dibantu negara besar yang lain turut serta mencari, selagi belum dapat kesan, kita berusaha dan kena ingat ia memerlukan pertolongan Allah," ujarnya.

Dalam pada itu Najib menegaskan sudah berjumpa keluarga penumpangberkenaan selain memberi maklumat terkini mengenai isu itu.

"Kita sudah jumpa keluarga yang terlibat. Kita faham mereka tidak puas hati dengan maklumat tidak tepat dan mereka bukan mahu teori atau spekulasi.

"Rakyat dan Kerajaan faham perasaan keluarga terlibat dan semua juga perlu faham, ia merupakan kejadian tidak terduga selain mahu tahu segala usaha sedang dilakukan dengan bersungguh-sungguh,'' jelasnya.

Najib turut berpesan, rakyat negara ini diminta bersatu hati dan berharap ia dapat diselesaikan dengan segera.

Sabtu lepas, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang dari imbasan radar pada 1.30 pagi, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.

Pesawat itu membawa penumpang terdiri daripada warga 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment