Wednesday 12 March 2014

Apakah tumpuan teralih kepada kakitangan Freescale?



KUALA LUMPUR: Masuk hari kelima, masyarakat masih lagi tertanya-tanya apakah yang terjadi kepada pesawat Malaysia Airlines MH370 yang ghaib begitu sahaja sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) kini melibatkan satu usaha intensif enam belas negara dengan kekuatan tiga belas kapal perang di perairan Laut Cina Selatan dan Selat Melaka.

Pelbagai teori dilemparkan oleh pelbagai pakar aviasi manakala media perdana antarabangsa terus mencari satu teori dari sumber sumber mereka.

"Segala kemungkinan atau all possibilities," kata pihak berkuasa dan ini bukan sesuatu yang ganjil kerana jika berlaku siasatan, biarpun satu peratus kemungkinan, ia tetap diambil kira.

Antara fokus sejak hari pertama ialah dua penumpang yang menggunakan pasport curi serta lima penumpang yang tidak dibenarkan menaiki pesawat ke Beijing, China itu.

Ia bagaimanapun sudahpun diketepikan berikutan ada dakwaan kemungkinan ia berkaitan tindakan pengganas.

Apakah fokus kini tertumpu kepada 20 penumpang yang merupakan kakitangan syarikat semi-konduktor Freescale yang berpusat di Austin, Texas?

Di Malaysia, Freescale terletak di Petaling Jaya dengan fasiliti semi-konduktor moden bagi memasang dan menguji litar bersepadu (IC).

Berdasarkan maklumat diperolehi dari laman web Freescale, meliputi kawasan seluas 20 ekar, ia dikhususkan bagi memasang dan menguji mikropemproses, pemproses isyarat digital dan litar bersepadu frekuensi radio dan telah memulakan operasi sejak 1972.

Mengikut laporan Reuters, 20 kakitangan Freescale itu terdiri daripada 'jurutera dan pakar terlibat untuk melaras serta mengurangkan kos di kemudahan utama mereka yang terletak di China.'

Freescale beroperasi di lebih 20 negara meliputi 18,000 kakitangan antaranya di Brazil, Kanada, Denmark, Perancis, Israel dan Russia.

Ia juga memiliki Freescale RF yang terlibat menyediakan penyelesaian terhadap keperluan Aeroangkasa dan Pertahanan dan ini dijelaskan melalui www.freescale.com/RFmilitary

Produk komersil Freescale RF memenuhi keperluan aplikasi seperti:

1. Komunikasi medan perang
2. Avionik
3. Radar HF melalui Band L- dan S-
4. Pemandu Misil (Missile Guidance)
5. Peperangan Elektronik (Electronic Warfare)
6. Pengenalan, sekutu atau musuh (IFF)

Pembangunan sektor ini menurut laman web Freescale bagaimanapun hanya tertumpu di kemudahan syarikat ini di Amerika Syarikat.

Apakah ia berkaitan dengan kehadiran penumpang dari Freescale ini? Ini hanyalah satu teori namun sebagaimana dinyatakan pihak berkuasa, mereka turut melihat profil kesemua 239 penumpang dan krew yang menaiki pesawat malang ini.

20 kakitangan Freescale dalam pesawat tersebut terdiri daripada 8 kakitangan Freescale di China yang datang ke Kuala Lumpur bersama 12 kakitangan dari cawangan di Petaling Jaya.

Menurut sumber yang enggan dikenali, kesemua kakitangan terbang ke Beijing untuk menerima latihan satu sistem baru untuk pembangunan semi-konduktor.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment