Wednesday, 12 March 2014

MH370: Ahli keluarga penumpang pesawat terima bantuan kewangan daripada MAS


KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAS) telah menghulurkan "bantuan kewangan awal khas” dalam usaha mengurangkan beban yang ditanggung ahli keluarga penumpang pesawat MH370.

Bagaimanapun, tidak kesemuanya menyambut baik bantuan berjumlah RM16,000 yang diberikan oleh syarikat penerbangan kebangsaan itu.

Seorang ibu kepada penumpang pesawat berkata bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantu dalam perbelanjaan seharian mereka.

“Kami tinggal di Hotel. Sekadar menunggu. Kami baik sahaja,” dia memaklumkan kepada Astro AWANI menerusi perbualan telefon.

Manakala salah seorang abang ipar kepada penumpang pesawat yang hilang mengakui menerima bantuan itu tetapi enggan mendedahkan butirannya bimbang pihak Penerbangan Malaysia tidak mahu mereka melakukannya.

“Bantuan itu adalah baik, namun bukan keutamaan kami. Apa yang kami lakukan hanya berdoa dan berharap mereka selamat kembali. Kami tidak mahu mendengar perkara yang negatif seperti kesudahan buruk yang mungkin terjadi seperti dilaporkan akhbar.”

Semalam beberapa anggota keluarga warganegara China yang menjadi penumpang pesawat MH370 telah menolak bantuan kewangan sekitar 31,000 RMB.

AFP melaporkan seorang ahli keluarga yang berasal dari timur wilayah Shandong dilaporkan berkata “Kami tidak berminat dengan wang”.

“Ia semuanya demi penumpang di atas pesawat terbabit. Kami mahukan mereka kembali,” katanya dari sebuah hotel di Beijing.

MAS menegaskan bantuan itu bukan berupa pampasan namun bantuan untuk membolehkan ahli keluarga mendapatkan keperluan harian mereka.

Jurucakapnya, Ignatius Ong Ming Choy dilaporkan berkata bantuan itu adalah bagi membantu meringankan bebanan keluarga penumpang pesawat MH370.

MAS hari ini mengesahkan memberi bantuan kepada keluarga penumpang, termasuk warga Malaysia.

Adalah difahamkan terdapat lebih 100 anggota keluarga penumpang pesawat MH370 yang kini berada di Kuala Lumpur. Mereka turut dibantu oleh 72 petugas sokongan, sekurang-kurangnya seorang untuk setiap keluarga.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment