Wednesday, 12 March 2014

Kira-kira 40 rumah setinggan musnah terbakar

SEMPORNA - Kira-kira 40 buah rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung Simunul, di sini, hari ini. 

Pegawai Bomba Kanan Dua Semporna Lajah Abdul Jalil berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 2.13 petang dan tiga jentera bomba dikejarkan ke tempat kejadian bersama 28 anggota termasuk enam anggota dari balai Semporna, lima anggota dari balai Kunak dan 17 anggota dari balai Tawau.

"Kami tiba di tempat kejadian pada pukul 2.16 petang dan kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.57 petang dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Beliau berkata punca kebakaran dan jumlah kerugian sedang disiasat dan semua mangsa akan ditempatkan di Dewan Masyarakat Semporna.

Sementara itu, pihak bomba Tawau menerima sebanyak 53 kes kebakaran melibatkan hutan dan belukar di daerah itu sejak awal tahun sehingga Isnin lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tawau, Rudy Fredzex berkata kebakaran itu berlaku berikutan keadaan cuaca yang panas ketika ini. 

"Pada Rabu lepas sahaja kami menerima sebanyak sembilan kes kebakaran hutan termasuk sebuah rumah di Jalan Kuhara," katanya dalam kenyataan di sini. 

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran secara terbuka bagi mengelak sebarang kebakaran berlaku. - Bernama

No comments:

Post a Comment