Wednesday 12 March 2014

Menteri nafi sembunyi fakta SAR MH370

Hishamuddin Tun Hussein
Hishamuddin Tun Hussein bersama (kiri) Dato' Seri Zulkifli Mohd Zin pada sidang media berkaitan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang pada lima hari lalu. - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI


SEPANG - Malaysia telus dalam mendedahkan segala maklumat berhubung insiden pesawat MH370 yang dilaporkan hilang dari radar, Sabtu lalu.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pihak berkuasa telah menyampaikan segala maklumat kepada media dan orang awam secara telus tanpa menyembunyikan apa-apa.

Pada sidang media hari ini, pemberita membangkitkan soal suasana kecoh yang timbul ditambah dengan pelbagai spekulasi yang berlegar berhubung insiden itu.

Pihak berkuasa juga didakwa lambat bertindak sehingga perkembangan insiden tersebut terlalu perlahan.

"Bukan sebab huru-hara. Banyak spekulasi yang kami telah jawab. Kami bekerja keras supaya semua spekulasi yang timbul disiasat.

"Kami telus kepada media dan orang awam," katanya pada sidang media berkenaan perkembangan terbaru misi mencari dan menyelamat (SAR) MH370.

Beliau menegaskan, sidang media yang diadakan setiap hari itu adalah medan untuk menyampaikan semua maklumat yang diperlukan.

"Secara asasnya tiada kekeliruan. Sidang media ini untuk jelaskan bagi memastikan maklumat yg kami sampaikan konsisten.

"... tiada apa yang kami hendak disembunyikan," katanya.

Hari ini merupakan hari kelima misi SAR dijalankan dengan bantuan 12 buah negara dengan penyertaan terbaru tiga negara, Jepun, India dan Brunei.

Sebanyak 42 kapal dan 39 pesawat digunakan dalam misi tersebut.

Lokasi pencarian pula diluaskan kepada 27,000 batu nautika meliputi dua kawasan iaitu Selat Melaka dan Laut Cina Selatan.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment