Friday, 21 March 2014

Sembilan lagi kes kematian demam denggi dilapor minggu lepas


KUALA LUMPUR: Sembilan kes kematian akibat demam denggi dilaporkan di empat buah negari dalam tempoh 9 hingga 15 Mac lepas, menjadikan 53 jumlah keseluruhan kematian sejak Januari lepas.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata kematian terbaru itu melibatkan enam wanita berumur antara 25 dan 54 tahun serta tiga lelaki berusia 36 dan 62 tahun serta pelajar berumur 15 tahun.

"Lima kes kematian berlaku di Selangor, diikuti dua di Johor dan masing-masing satu di Perak dan Kelantan, katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Subramaniam berkata kes demam denggi di seluruh negara dilaporkan meningkat kepada 1,902 bagi tempoh 9-15 Mac iaitu minggu ke-11 kes demam denggi dipantau, berbanding 1,630 minggu sebelumnya

"Dari Januari hingga 15 Mac 2014 pula, keseluruhan kes demam denggi yang dilaporkan adalah 21,967, peningkatan 321 peratus atau 16,746 kes berbanding 5,221 kes bagi tempoh sama tahun lepas", kata Dr Subramaniam.

Beliau berkata jenis virus serotaip DEN 2 menjadi antara faktor peningkatan kes kematian denggi.

"Jangkitan virus serotaip DEN 2 akan memberi manifestasi klinikal lebih teruk dan mempunyai risiko komplikasi lebih tinggi berbanding jangkitan serotaip lain", jelasnya.

Selain itu, beliau berkata 458 lokaliti wabak dilaporkan di 12 negeri dan daripada jumlah itu, 84 lokaliti melibatkan wabak melebihi sebulan iaitu dikategorikan sebagai 'tompok panas'.

Sejumlah 70 lokaliti tompok panas adalah di Selangor, iaitu masing-masing 32 di daerah Hulu Langat dan Petaling, Gombak (5) dan Klang (1).

Sembilan lokaliti tompok panas lain dikesan di Seremban, Negeri Sembilan; tiga di Kota Baharu, Kelantan; dan masing-masing satu di Kepong, Kuala Lumpur dan Putrajaya dan Melaka Tengah (Melaka).

Bernama

No comments:

Post a comment