Friday 21 March 2014

10 minit kuasai satu subjek

10 minit kuasai satu subjek
Hui Yee (kanan) dan Nor Syahilla bangga menunjukkan slip keputusan SPM masing-masing.


CHUKAI – “Kalau tidak faham sesuatu subjek, saya akan habiskan masa selama 10 minit untuk belajar subjek itu. Saya tak habiskan masa panjang untuk satu-satu mata pelajaran, sebab saya ambil banyak subjek dan perlu kuasai semuanya.”

Demikian kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, Chan Hui Yee, 18, yang muncul sebagai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 kedua cemerlang di Terengganu selepas berjaya memperoleh keputusan 11A+.

Menurut Hui Yee, keputusan itu adalah di luar jangkaan kerana dalam sejarah sekolahnya, pelajar benar-benar rajin sahaja berjaya mendapat keputusan semua A+.

“Saya taklah belajar terlalu tekun dan ada masanya saya belajar ikut 'mood'. Jadi, memang tak percaya saya antara lima pelajar terbaik negeri, namun pada masa sama saya bangga kerana dapat gembirakan ibu bapa dan pihak sekolah," katanya.

Hui Yee berkata demikian selepas menerima slip keputusan SPM 2013 disampaikan Pengetua SMK Sultan Ismail Roslina Zakaria di sekolah berkenaan, semalam.

Berkongsi lanjut mengenai tip belajar, Hui Yee berkata, seminggu sebelum peperiksaan, dia tidak menonton televisyen dan melayari internet untuk memberi tumpuan penuh pada pelajaran.

“Pada hari peperiksaan pula, saya akan bangun seawal jam 4 pagi untuk ulang kaji. Saya juga mengikuti kelas tuisyen bermula jam 3.30 petang hingga 7.30 malam,” katanya.

Kata anak tunggal ini, kejayaan itu dihadiahkan kepada bapanya, Chan Kim Lye, 56, yang bekerja sebagai pembantu kedai di Dusun Nyior dan ibunya, Chan San Kok, 52, yang banyak memberi kata perangsang hingga dia rasa tercabar untuk membuktikan keupayaan diri.

Hui Yee yang tinggal di Taman Bukit Mentok, merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang ekonomi bagi mengejar cita-cita menjadi seorang pengurus kewangan.

Seorang lagi pelajar cemerlang SMK Sultan Ismail, Nor Syahilla Mohd Zin, 18, yang berjaya memperoleh 7A+ dan 3A berkata, solat hajat dan solat dhuha diamalkannya bersama rakan setiap pagi di sekolah, menjadi petua kejayaannya.

“Selain di sekolah, saya juga amalkan solat hajat di rumah selepas solat Maghrib. Saya bukanlah seorang pelajar yang rajin buat ulang kaji, tapi saya tumpukan sepenuh perhatian ketika cikgu mengajar kerana dengan cara itu, saya fahami apa yang diajar.

“Saya nak sambung pengajian dalam bidang perubatan dan akan mohon universiti luar negara. Kalau tiada rezeki belajar di luar negara, mungkin saya akan mohon Universiti Malaya atau Universiti Islam Antarabangsa,” katanya yang bercita-cita menjadi pakar bedah.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment