Friday 21 March 2014

Saya tidak "melatah" apabila umum objek ditemui mungkin serpihan pesawat - Tony Abbott


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott menjelaskan beliau tidak "melatah" apabila mengumumkan imej satelit yang menunjukkan objek yang mungkin merupakan serpihan pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Menurut Abbott, beliau ada tanggungjawab untuk memaklumkan kepada keluarga penumpang dan anak kapal mengenai perkembangan usaha mengesan pesawat itu.

"Ia mungkin hanya kontena yang jatuh dari sebuah kapal, kita tidak tahu.

"Tetapi kami bertanggungjawab kepada keluarga dan sahabat handai (kepada 239 orang) yang berada dalam penerbangan MH370 untuk melakukan apa yang boleh untuk cuba menyelesaikan apa yang setakat ini teka-teki yang luar biasa.

"Kami juga bertanggungjawab untuk memberikan maklumat sebaik kami menerimanya dan saya rasa itulah yang kami lakukan (pada Khamis) di Parlimen," katanya semasa dalam lawatan rasmi ke Papua New Guinea, seperti dipetik oleh ABC News pada Jumaat.

Pihak berkuasa Australia mengenal pasti dua objek yang dirakamkan oleh satelit di kawasan yang terletak kira-kira 2,500 kilometer di barat negara itu yang dirakamkan pada 16 Mac lalu.

Usaha mengesan dua objek berkenaan bagaimanapun sehingga ini masih buntu kerana keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

Lembaga Keselamatan Maritim Australia (AMSA) yang menyelaraskan operasi mengesan objek itu memaklumkan lima pesawat meninjau kawasan berkenaan pada Jumaat. Ia disertai oleh sebuah kapal kontena dari Norway yang tiba di kawasan itu semalam serta sebuah lagi kapal dagang yang akan sampai malam ini.

AMSA dalam kenyataannya pada Khamis menyifatkan imej satelit itu sebagai "petunjuk terbaik" namun mengingatkan ia mungkin tidak ada kaitan dengan pesawat MAS yang hilang itu.

Imej satelit yang dirakamkan oleh syarikat imejan satelit di Colorado, Amerika Syarikat itu menunjukkan objek yang satu daripadanya berukuran 24 meter panjang.

China pada Jumaat mengerahkan tujuh kapal tambahan untuk menyertai operasi mencari di selatan Lautan Hindi, lapor agensi berita Xinhua. Tujuh kapal itu akan menyertai tiga kapal tentera laut China yang sudah bergerak pada Khamis.

Antara kapal milik China yang dikerah ke kawasan itu termasuk kapal pemecah ais, Xuelong yang berlabuh di pelabuhan Fremantle di barat Australia.

Operasi mengesan objek itu dimulakan pada Khamis dengan menempatkan boya yang menganalisis arus laut dan arah angin untuk mengesan lokasi objek itu selepas dirakamkan oleh satelit.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment