Friday 21 March 2014

Pencarian pesawat akan mengambil masa yang lama


SEPANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 mungkin mengambil masa yang lebih lama.

“Ini akan mengambil masa yang lama, kita perlu mendalami perkara ini,” kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein semasa sidang media khas yang diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat.

Hishammuddin yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata setakat ini tiada laporan positif diterima dan mengakui tempoh 30 hari bagi mencari kotak hitam sebelum kehabisan bateri merupakan suatu situasi yang rumit.

Beliau walaubagaimanapun menambah bahawa terdapat teknologi yang dapat mengesan kotak hitam tersebut walaupun selepas 30 hari, seperti kejadian pesawat Air France 447 yang terhempas pada 2009. Pihak berkuasa Perancis yang telah menjalankan siasatan ke atas kejadian tersebut kini turut membantu Malaysia dalam mencari MH370.

Hishammuddin berkata, kelengkapan tersebut adalah terhad dan kini beliau sedang memohon bantuan daripada beberapa negara bagi ‘peluang untuk menggunakannya’.

Dalam pada itu misi pencarian masih diteruskan di koridor Utara dan Selatan walaupun fokus kini menjurus kepada dua objek yang dikesan oleh satelit berkemungkinan ada kaitan dengan MH370 dimana perkara ini telah didedahkan oleh pihak berkuasa Australia pada Khamis.

China telah menghantar lima buah kapal dan tiga buah helikopter yang kini sedang menuju ke arah koridor selatan.

Sementara itu Jepun turut menghantar asetnya ke Perth, termasuk dua buah P3 Orion bagi membantu misi pencarian.

“Pagi tadi saya sempat bercakap dengan Pemangku Suruhanjaya Tinggi Britain untuk mengesahkan Perdana Menteri telah bercakap dengan Perdana Menteri Britain di mana MHS Echo telah pun dalam perjalanan menuju ke bahagian selatan Lautan Hindi.

“Pihak British juga akan menyediakan satu senarai kemungkinan aset yang dapat mereka sediakan jika diperlukan. Tambahan daripada bantuan teknikal, mereka juga telah mengesahkan mereka akan menyediakan khidmat pakar serta bantuan penyiasatan,” kata Hishammuddin.

Hishammuddin berkata Malaysia kini juga sedang meminta bantuan daripada Amerika Syarikat dalam usaha pencarian ini termasuk kenderaan kawalan jauh bagi misi pencarian di laut dalam.

Menyentuh misi di koridor utara, beliau berkata Kazakhstan memaklumkan bahawa pesawat MH370 tidak mendarat di kawasan mereka.

“Kami kini sedang menantikan pengesahan daripada mereka supaya kita dapat menggunakan Kazakhstan sebagai titik transit bagi operasi seterusnya,” tambahnya.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment