Friday 21 March 2014

Anak penoreh getah cemerlang STPM

Anak penoreh getah cemerlang STPM
Zakiah (duduk, tengah) dan Nik Muhamad bersama pelajar cemerlang STPM SMK Tanah Merah 2 termasuk Shahiera Aziezey (belakang, kiri) di Tanah Merah, kelmarin.


TANAH MERAH - Cita-cita anak seorang penoreh getah untuk bergelar pensyarah suatu hari nanti makin cerah apabila mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang diumumkan, kelmarin.

Lebih manis, Shahiera Azieziey Jaafar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanah Merah 2, di sini, muncul satu-satunya pelajar di daerah ini yang mendapat keputusan cemerlang 4A.

Pada peperiksaan itu, Shahiera Azieziey mendapat keputusan A dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia, Geografi, Pengetahuan Am dan Pengajian Perniagaan.

Ditanya kunci kejayaannya, Shahiera Azieziey berkata, tiada rahsia khusus untuk berjaya dalam peperiksaan melainkan tekun dan memberi tumpuan penuh ketika belajar.

“Walaupun sukar tetapi dengan usaha bersungguh-sungguh, saya yakin akan dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan ini,” katanya selepas mengambil slip keputusan peperiksaan STPM di SMK Tanah Merah 2, kelmarin.

Selain Shahiera Azieziey, lima lagi pelajar SMK Tanah Merah 2 mendapat keputusan cemerlang PNGK 3.5 ke atas daripada keseluruhan 146 calon STPM 2013 sekolah berkenaan.

Turut meraikan kejayaan enam pelajar terbabit, Pengetua SMK Tanah Merah 2, Zakiah Ismail dan Penolong Kanan Pentadbiran sekolah itu, Nik Muhamad Nik Lib.

Shahiera Azieziey memaklumkan, dia terhutang budi kepada ahli keluarga dan guru yang memberi sokongan serta tunjuk ajar.

“Selain tekun dan beri tumpuan penuh dalam belajar, sebagai pelajar, saya juga sentiasa hormat kepada ibu bapa dan guru yang banyak memberikan dorongan dan semangat untuk berjaya,” katanya.

Sinar Harian 

No comments:

Post a Comment