Sunday 23 February 2014

Sudirman, Elvis Presley Malaysia?


Allahyarham Sudirman Hj Arshad. --Gambar Fail

Malam ku suram, siang ku kelam
Ku kegelisahan, mencari-cari
Kemana pergi, harga diri ini
Bertanyakan berita, merisik khabar
Mendengar cerita, melaluinya
Kau kuhampiri, tiap hari
Bersama luka dihati

Lagu ini saya ketahui ketika saya berusia 16 tahun, lapan tahun selepas pelantunnya pergi menyahut panggilan Ilahi.

Ketika lagu itu popular, saya terlepas daripada memiliki momen indah sebagai salah seorang peminat lagu tersebut. Saat lagu itu mula didengari peminat insan ini, saya baru berumur empat tahun, masih mentah untuk menilai sesuatu karya.

Selepas beliau pergi, baru saya menyedari lagu-lagu nyanyian penghibur bernama Sudirman Hj Arshad amat dekat di hati saya.

Sejak itu 'Merisik Khabar, Milik Siapa Gadis Ini' dan 'Salam Terakhir' sentiasa melekat di fikiran saya.

Malah lagu-lagu ini masih lagi dimainkan di corong-corong radio termasuk 'Pelangi Petang', 'Chow Kit Road' dan 'Gerimis Di Lautan'.

Tidak ketinggalan, lagu 'Balik Kampung' yang akan menerjah kepala perantau-perantau setiap kali hari raya hampir tiba.  

Bergelar Wartawan Astro AWANI, saya mengakui ralat tidak berkesempatan untuk mengenali siapa itu Sudirman Hj Arshad secara peribadi.

Namun, hanyalah artikel terdahulu, video dokumentari, carian google serta paparan Youtube menjadi rujukan saya.

Rasa kecewa lambat ‘jatuh cinta’ dengan 'The Singing Lawyer' ini turut dirasai oleh seluruh peminatnya yang lain.







Pada tahun 1986, beliau telah menempa nama di dalam Malaysian Book of Records kerana mengadakan konsert besar-besaran secara percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Hampir 100 ribu warga kota berpusu-pusu membanjiri jalan sambil bersama-sama menyanyikan lagu beliau "Chow Kit Road! Chow Kit Road!".

Membaca kisah itu sahaja, saya sudah dapat merasai kemeriahannya ketika itu.

Sudirman, pernah digelar penghibur nombor satu Asia ketika beliau muncul juara dalam pertandingan 'Asian Popular Music Awards' yang berlangsung di Royal Albert Hall London pada tahun 1989.

Ketika pertandingan itu beliau turut bersaing dengan nama-nama besar dari negara Asia yang lain seperti Leslie Chung.

Selain itu, filem 'Kami' yang mengangkat beliau sebagai pelakon air mata turut tidak akan dilupakan oleh peminat-peminatnya.

Daripada lagu-lagu patriotik sehingga ke lagu rakyat, penghibur lagenda ini sentiasa tampil lain daripada yang lain.

Ada yang menganggap penyanyi serba boleh ini sebagai ‘Elvis Presley Malaysia’.

Namun tidak keterlaluan jika saya berpendapat beliau lebih hebat daripada Elvis.

Semalam, 22 tahun yang lalu ketika beliau berusia 37 tahun, Penghibur No. 1 Asia ini pergi meninggalkan kita semua dan kehilangannya sukar dicari ganti. Al – Fatihah.

Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment