Sunday 23 February 2014

PERKASA harus lebih berhati-hati - Rosnah


KUALA LUMPUR: PERKASA harus lebih berhati-hati apabila membuat kenyataan umum seperti "UMNO sudah tidak bertaring, lesu dan lemah" dan PERKASA "boleh jadi galang ganti" mempertahankan bangsa dan agama.

Ini adalah pendapat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang berkata badan bukan kerajaan (NGO) itu tidak pernah ada kaitan dengan UMNO dan ia harus munasabah.

"PERKASA tidak harus melibatkan UMNO dalam perkara berunsur negatif. UMNO tidak pernah memusuhi PERKASA.

"UMNO bukanlah satu parti yang lemah," kata Rosnah kepada Astro AWANI.

Rosnah berkata demikian semasa memberi komen tentang kenyataan Ketua Bahagian UMNO Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menggesa supaya UMNO 'menjinakkan' PERKASA.

Nur Jazlan menyaran bahawa PERKASA 'menutup mulut' sekiranya tiada fakta yang hendak dicakapkan.

Rosnah yang bersetuju dengan Nur Jazlan berkata pendekatan UMNO adalah lain daripada PERKASA.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Datuk Ahmad Maslan berkata pandangan Nur Jazlan adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya pandangan UMNO.

"Pada saya, PERKASA sebuah NGO yang mempunyai peranan yang tersendiri dan saya tidak mempunyai apa-apa untuk menegur PERKASA. 

"Mereka mempunyai hak sendiri dan pendapat bebas adalah dibenarkan di dalam negara berdemokrasi seperti Malaysia asalkan ia tidak menimbulkan hal-hal sensitif," katanya.

Semasa memberi komen tentang kenyataan PERKASA, 'UMNO sudah "tidak bertaring, lesu dan lemah".
"Kenyataan ini tidak menimbulkan sebarang bekas kepada UMNO. Biarlah dia bercakap," katanya.

Nur Jazlan dalam kenyataannya yang dipetik dari akhbar The Heat baru-baru ini telah menggesa agar UMNO menjinakkan PERKASA dengan meletakkan syarat dalam hubungannya dengan badan bukan kerajaan itu dan tidak membiarkan ia terus-menerus menentukan keadaan.

Katanya UMNO tegas memberitahu PERKASA supaya bercakap dengan fakta dan menurut Nur Jazlan sekiranya tidak ada apa-apa yang hendak dicakapkan, mereka (PERKASA) sepatutnya tutup mulut.

Nur Jazlan bagaimana pun berkata, PERKASA tidak mendiamkan diri kerana ia mahukan legitimasi.

Laporan The Heat itu turut memetik Nur Jazlan berkata kewujudan PERKASA tidak membantu UMNO sebaliknya menyusahkan parti itu, serta lebih merupakan satu ancaman kepada mereka.

Berikutan itu, Presiden PERKASA Datuk Ibrahim Ali hari ini telah membidas kenyataan Nur Jazlan Mohamed yang mengatakan PERKASA satu ancaman kepada UMNO.

Ketika dihubungi Astro AWANI, Ibrahim berkata ternyata Nur Jazlan tidak memahami erti demokrasi, di mana dalam kes ini merujuk kepada hak mengkritik dan menyuarakan pandangan.

Nur Jazlan mengkritik PERKASA selepas beliau pada akhir tahun lalu membidas badan itu yang mengancam sedia menggantikan UMNO yang kononnya tidak dapat membela nasib orang Melayu.

Katanya, badan itu terlebih mengukur kekuatan dan pengaruhnya sendiri di kalangan orang Melayu.

Kritikan Nur Jazlan ketika itu adalah reaksi kepada ucapan Ibrahim semasa perhimpunan agung badan itu yang mengatakan UMNO sudah 'tidak bertaring, lesu dan lemah' dan PERKASA 'boleh jadi galang ganti' mempertahankan bangsa dan agama.

Astro Awani 

No comments:

Post a Comment