Sunday 23 February 2014

Linangan air mata ibu hilang anak di Sungai Muar

Linangan air mata ibu hilang anak di Sungai Muar
Dua anggota keluarga remaja yang lemas di sungai Muar kelihatan sebak sebaik sahaja mengecam mayat yang dijumpai oleh skuad penyelam Jabatan Bomba dan penyelamat. - Foto Bernama

SEGAMAT - "Shafiq, baliklah nak. Emak rindu sangat ni," rayu seorang ibu, Mariam Zam, 50-an, ibu kepada Mohd Shafiq Shukor, salah seorang daripada lapan remaja yang lemas di Sungai Muar, Buloh Kasap di sini. 

Tindakan Mariam yang menyayat hati di tebing sungai yang meragut nyawa anaknya itu dilihat ketika pasukan mencari dan menyelamat menghadapi kesukaran menemui mayat Shafiq, yang dipercayai berada di dasar sungai. 

Suara sayunya itu menyebabkan orang ramai dan keluarga mangsa yang berkumpuldi tebing sungai sejak semalam, merasa sebak, lalu menitiskan air mata. 

Mariam terpaksa dipapah oleh anggota keluarga ke tebing sungai untuk melihat sendiri kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa. 

Tidak lama selepas rayuan sayu Mariam, pasukan mencari dan menyelamat terdiri dari pelbagai agensi berjaya menemui mayat Shafiq, bersama mayat empat lagi rakannya yang hilang sejak semalam itu.

Ketika ditemui kemudian, Mariam memberitahu, anak bongsunya itu seorang pendiam dan hanya akan bercakap dengan keluarga tentang perkara-perkara penting sahaja. 

Seperti biasa menurutnya, pada pagi semalam anaknya itu keluar bersama rakannya yang lain dan Mariam menyangkakan kesemua mereka ke sekolah untuk kegiatan riadah. 

Beliau tidak menjangkakan anak bongsunya itu pergi ke sungai itu bersama rakannya dan bermandi-manda. 

"Kebiasaannya, dia jarang bersarapan pagi, tetapi pagi semalam dia membancuhsendiri air Milo sebelum keluar rumah," katanya apabila diajukan soalan tentangtingkah laku anaknya sebelum terlibat dalam tragedi tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment