Tuesday 26 November 2013

Stacy dan Hafiz tak jual kisah peribadi

Tak jual kisah peribadi
Stacy Angie Anam

Tak jual kisah peribadi
Hafiz Suip

STACY Angie Anam dan Hafiz Suip bukanlah nama baharu dalam industri seni. Usia masih muda tetapi mereka berjaya meletakkan diri sebaris dengan nama-nama hebat dalam industri muzik, merupakan satu kejayaan besar bagi dua anak muda ini.

Lumrah kehidupan sebagai anak seni, mereka juga tidak boleh lari daripada kontroversi namun menerusi dugaan itulah, mereka lebih matang dan sentiasa berhati-hati dalam meneruskan kerjaya mereka.

Terbaru, mereka terpilih ke pentas akhir Anugerah Juara Lagu ke-28 (AJL28) selepas diumumkan dalam Muzik-Muzik Separuh Akhir, Jumaat lalu yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam.

Selain lagu Bosan (Stacy), Bahagiamu Deritaku (Hafiz), terdapat 10 lagi lagu layak ke acara kemuncak yang bakal berlangsung pada 26 Januari depan.


Antaranya lagu In Love With You (Aizat Amdan & Noh), Penglipurlara (Hazama & The Penglipurlara), Takkan Terpisah (Black), Kalau Aku Kaya (Awi Rafael & Altimet), Kau Yang Terindah (Alyah), Sahabat (Najwa Latif Ft. Sleeq & Shamkamarul), Tanda Tanya (Azlan & The Typewriter), Hanya Aku (Hyper Act), Aku Pelat (Salam Musik) dan Ikut Rentakku (Jaclyn Victor).


Belum sedia berkahwin - Stacy

Hubungan 'teman tapi mesra' antara Stacy dan Akim Ahmad sudah pun diketahui ramai walaupun nampaknya mereka masih merahsiakan perkara tersebut.

Kedua-dua penyanyi kelahiran program realiti, Akademi Fantasia itu dilihat semakin rapat apabila sering memuat naik gambar mesra mereka.

Namun sejak akhir-akhir ini, hubungan mereka dikatakan dingin gara-gara kenyataan Akim mengenai kisah percintaan mereka.

Tampil menjelaskan isu tersebut, Stacy menegaskan bahawa dia masih lagi berkawan dengan jejaka itu.

"Bukan saya sengaja merahsiakan hal peribadi, lebih elok saya berdiam diri sahaja untuk kebaikan bersama.

"Biarlah apa yang berlaku sebelum ini dijadikan pengajaran dan saya tidak mahu sebarang kenyataan mengenai perhubungan kami terus diperkatakan," jelas Stacy.

Walaupun kisah mereka masih diperkatakan, Stacy menegaskan dia hanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjaya dan penjagaan anaknya, Bella yang akan menginjak umur dua tahun Februari depan.

"Lagipun saya belum sedia untuk serius dengan mana-mana lelaki, begitu juga dengan perkahwinan.

"Berilah saya ruang untuk mencari pasangan. Apabila sudah bertemu dengan lelaki yang secocok, baharulah saya yakin untuk tamatkan zaman bujang," ujarnya.

Selain sibuk dengan persiapan AJL28, Stacy berkata masa luangnya digunakan untuk mengumpul bahan album terbaru yang akan dilancarkan selepas tamat pertandingan tersebut.

Katanya, album tersebut memuatkan 10 lagu pelbagai genre telah siap sejak September lalu namun terpaksa ditangguhkan pelancarannya di atas sebab-sebab tertentu.


Dikritik kerana rambut

Penyanyi kelahiran Kota Kinabalu, Sabah itu, pernah mencetuskan kontroversi hanya kerana fesyen rambutnya dengan 'gaya melampau'.

Stail rambutnya dikatakan meniru penyanyi yang popular dengan lagu Diamonds, Rihanna yang memotong rambutnya hampir botak.

Sekali lagi, rambutnya menjadi mangsa eksperimen dan dipotong hampir botak seakan-akan penyanyi bermasalah, Miley Cyrus.

Biarpun berhadapan dengan kritikan dan tohmahan, Stacy menegaskan dia bukan 'copycat' gaya rambut artis tersebut tetapi ingin mencuba perkara baharu.

"Ia fesyen universal, saya tidak lihat perkara ini sebagai satu kesalahan.

"Lagipun saya jenis suka mencuba perkara baharu dan jarang mengekalkan fesyen yang sama setiap masa," ujarnya.

Bagi Stacy, dia mahu kelihatan berbeza sepanjang tahun dan tidak kisah mengorbankan rambutnya demi gaya yang unik.

Selain perubahan rambutnya, Stacy juga kelihatan semakin kurus berbanding sebelum ini.

Namun jelas pelantun Bosan itu, dia giat mengamalkan diet dan bersenam untuk mengekalkan bentuk badan yang langsing.
"Saya berjaya turunkan tujuh kilo dalam masa agak singkat.

"Jika dulu saya banyak habiskan masa di rumah, menyebabkan berat saya naik mendadak," katanya.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment