Monday 4 November 2013

Sorok bahan lucah bawah sofa

Sorok bahan lucah bawah sofa
Noor Aziah menunjukkan tempat pengusaha premis menyembunyikan bahan lucah di bawah sofa usang terletak di belakang kedai.


SUBANG JAYA – Pelanggan dibawa ke bilik kecil, diberi peluang memilih tajuk disukai sebelum penjaga kedai akan mengambil bahan lucah dipesan yang disembunyikan di bawah sofa buruk terletak di belakang kedai.

Itu modus operandi digunakan pengusaha pusat jualan cakera video digital (DVD) di SS15/4, Subang Jaya di sini untuk memasarkan bahan lucah kepada pelanggan bagi mengelakkan aktiviti dihidu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan haram dua premis terbabit lumpuh selepas diserbu 16 pegawai dan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN), petang tadi.

Pengarah Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan KDN Selangor, Noor Aziah Abdullah berkata, pengusaha sebuah premis yang diserbu juga didapati menjadikan sebuah bilik sebagai pintu rahsia menyimpan bahan terlarang itu.

“Wujud pintu rahsia direka khas dalam bilik belakang menyerupai rak pameran, pengusaha letakkan kulit filem lucah di atas meja tetapi kandungan disorok disebalik pintu rahsia,”katanya.

Beliau berkata, pengusaha didapati melakukan kesalahan tidak mempamerkan tanda kelulusan perakuan B.

Jika sabit kesalahan boleh didenda antara RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihaknya merampas 630 keping DVD lucah dari kedua-dua premis terbabit, 230 ditemui di bawah sofa usang terletak di bahagian belakang kedai.

Jelasnya, penjaga premis warga tempatan berusia lingkungan 30-an turut ditahan. Tindakan diambil bawah Seksyen 5, Akta Penapisan Filem 2002.

Menurutnya, mereka yang memiliki kulit filem juga boleh dikenakan tindakan bahwa akta sama.

Katanya lagi,dari Januari hingga Oktober pihaknya sudah merampas lebih2 juta keping DVD yang tidak mempunyai perakuan B.

Sementara itu, Ketua Penguatkuasa KPDNKK Selangor, Othman Nawang berkata, antara tajuk filem DVD yang dirampas pihaknya termasuk KL Gangster 2, Dampak dan Tanda Putera.

Beliau berkata, anggotanya terpaksa memecah masuk sebuah premis yang ditutup ketika diserbu dan menemui 5,000 keping DVD filem pelbagai tajuk dengan nilai rampasan hampir RM50,000.

Tindakan diambil bawah Akta Hak Cipta 1987 dan Akta Cakera Optik 2000.

Sekiranya sabit kesalahan, pengusaha berdepan denda RM2,000 bagi setiap filem atau lima tahun penjara atau kedua-dua sekali.

Sinar Harian

No comments:

Post a Comment