Monday 4 November 2013

13 Syarikat M'sia catat jualan RM106 juta di Dubai

Gitex 2013: 13 Syarikat M'sia catat jualan RM106 juta di Dubai

Tiga belas syarikat Malaysia mencatat RM106 juta menerusi jualan pelbagai jenis perkhidmatan dan penyelesaian, pada  Pameran Teknologi Maklumat Teluk (Gitex) 2013, di Dubai.

Jualan termasuk penyelesaian pengesahan, perkhidmatan keselamatan terurus, permainan mudah alih, penyelesaian pengurusan kumpulan, siri animasi dan  aksesori komputer.

Pesuruhjaya Kanan Perdagangan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) di Dubai, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata Gitex, pameran perdagangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terbesar di Timur Tengah, menawarkan banyak peluang untuk penggiat ICT Malaysia, terutama dalam bidang seperti keselamatan untuk rangkaian korporat dan kerajaan, perkhidmatan Internet, IPTV, WiMAX, 3G dan pembangunan kandungan dan aplikasi untuk peranti pintar.

"Timur Tengah telah menyaksikan pertumbuhan kukuh dalam sektor ICTnya, dengan anggaran US$193 bilion. Gitex telah menjadi platform yang terbukti untuk membolehkan syarikat Malaysia bertapak dalam pasaran ini," katanya dalam satu kenyataan.

Matrade mengetuai syarikat terbabit untuk pameran yang berlangsung selama lima hari mulai 20 Oktober.

BERNAMA

No comments:

Post a Comment