Saturday, 19 October 2013

SKMM minta Facebook tutup akaun palsu Muhyiddin

SKMM minta Facebook tutup akaun palsu Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini meminta bantuan pihak Facebook untuk menutup akaun palsu yang dikatakan menggunakan nama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusinya, Datuk Mohamed Sharil Mohamed Tarmizi berkata pihaknya telah membuat permintaan itu dengan segera selepas menerima maklumat tentang aktiviti yang dibuat melalui akaun palsu "Tansri Muhyiddin Yasin" itu.

"Belum ada sebarang laporan dibuat namun kita ada terima maklumat tentang akaun tersebut sekitar jam 1 petang dan kita telah meminta bantuan Facebook untuk menutup akaun palsu itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

SKMM kini sedang menyiasat untuk mengesan dalang disebalik akaun palsu tersebut.

Akaun FB itu dikesan memuatnaik kenyataan pada jam 8.30 pagi hari ini mendakwa calon Naib Presiden UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir telah disingkir dari pencalonan jawatan tersebut.

Kenyataan itu, antara lain berbunyi "Pihak Lembaga Disiplin Umno telah membuat keputusan bahawa calon didapati telah melanggar etika parti dan secara langsung terlibat dalam penglibatan wang yang besar dan diedarkan pada program khas yang diadakan oleh pihak calon baru-baru ini.

"Saya berharap pihak Lembaga Disiplin UMNO dapat menyiasat perkara ini secepat mungkin" menurut status dalam Facebook itu.

Muhyiddin bagaimanapun telah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan tersebut dan menafikan akaun Facebook tersebut adalah miliknya.

-ASTRO Awani

No comments:

Post a Comment