Saturday 19 October 2013

Hishammuddin kesal digelar lembik

 Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein


KLUANG - Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang bertanding mempertahan jawatan Naib Presiden Umno pada pemilihan hari ini melahirkan rasa kesal terhadap sesetengah pihak yang berterusan melabelnya sebagai pemimpin lembik terutama ketika menerajui Kementerian Dalam Negeri.

Hishammuddin yang juga pemangku Menteri Pengangkutan berkata, tuduhan yang dilempar terhadap beliau itu jelas tidak berasas dan berkemungkinan mempunyai sebab tertentu sehingga menimbulkan rasa tidak adil terhadap dirinya.

"Jauh sekali saya lembik. Kalau lembik, negara sudah huru-hara. Kalau lembik, tidak mungkin saya bawa pindaan perlembagaan kepada parti.

"Kalau lembik, tidak mungkin saya dapat bertahan selama lima tahun bersama KDN, melalui pilihan raya umum ke-13 lepas dalam keadaan aman dan selamat, dan tidak mungkin dapat melalui pemilihan parti pada hari ini," katanya ketika berucap pada mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Sembrong, di Sekolah Menengah Sains Sembrong, di sini hari ini.

Sebanyak 481 anggota perwakilan bahagian itu menghadiri mesyuarat berkenaan.

Turut hadir tanda memberi sokongan kepada beliau ialah isterinya, Datin Seri Tengku Marsilla Tengku Abdullah, anak sulung beliau yang sarat mengandung, Nasya Alyssa, dan suami Muhd Anas Zawawi Khalid, serta adik beliau Faris Tun Hussein.

Hishammuddin berkata memang mudah bagi pihak tertentu menuding jari terhadapnya, namun beliau lebih suka mengambil pendekatan menangani ujian dan cabaran ini dengan memberikan penjelasan kepada para perwakilan bagi membolehkan mereka menilai rekod perkhidmatannya.

Beliau berkata, sebagai orang yang berada di landasan yang benar, beliau yakin para perwakilan terutama anggota perwakilan Sembrong memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadapnya.

"Ketika berlaku pencerobohan di Lahad Datu, Sabah, saya sekeluarga berkampung di sana selama tiga minggu bagi memastikan keadaan selamat. Itu pun orang kata saya lembik lagi ke?" katanya.

Sumber

No comments:

Post a Comment