Saturday, 19 October 2013

Gangguan elektrik punca kereta api terkandas

kereta api Bukit Bendera

GEORGETOWN - Gangguan bekalan elektrik menjadi punca kereta api Bukit Bendera terhenti di pertengahan landasan ketika menuruni bukit sehingga menyebabkan lebih 100 pengunjung terkandas hampir dua jam malam tadi.

Pengurus Besar Perbadanan Bukit Bendera (PHC) Dr Lawrence Khoo berkata dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, tindakan beberapa penumpang yang menendang pintu serta cuba memecahkan cermin tingkap sebelum meluru keluar beramai-ramai sebaik sahaja pintu terbuka secara paksa menyebabkan situasi menjadi bertambah buruk.

"Kita ada bekalan tenaga elektrik simpanan yang boleh diguna ketika kecemasan dan ia memerlukan kurang dari 10 minit untuk kita teruskan semula operasi.

"Tapi ia tidak dapat membantu kerana sistem itu terganggu disebabkan penumpang berjalan atas landasan menyebabkan bekalan tenaga elektrik tidak dapat disalur kepada koc kereta api," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera beroperasi seperti biasa hari ini dan pihaknya memohon maaf kepada semua penumpang terlibat.

Katanya masalah itu berlaku di luar jangkaan dan pihaknya mendapat maklumat gangguan bekalan elektrik itu berlaku di beberapa kawasan termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Khoo turut menafikan ada penumpang mengalami serangan jantung, sebaliknya hanya menghadapi kesukaran bernafas dan empat penumpang yang dihantar Hospital Pulau Pinang untuk rawatan telah dibenar pulang.

Empat penumpang berkenaan ialah Jamil Bidin, 57, Ismayati Ismail, 28, Zikri Fikri, 6, dan seorang pelajar Arab dari Universiti Putra Malaysia, Afat Abdul Kahlea, 20-an.

Sementara itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong berkata sepasukan anggota bomba bersama sebuah jentera digegaskan ke lokasi kejadian bagi membantu menurunkan mangsa yang terperangkap setelah menerima panggilan kecemasan pukul 7.54 malam tadi.

- Bernama

No comments:

Post a Comment