Saturday, 19 October 2013

Lebih 20,000 PATI didaftarkan semula

KDN

PUTRAJAYA - Lebih 20,000 pendatang tanpa izin (Pati) yang pernah mendaftar di bawah Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P), namun ditipu agen atau orang tengah akan membuat pendaftaran baharu, mulai Isnin.

Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Wahab Mohd Yassin berkata pendaftaran baharu itu dikenali sebagai Program Khas Pengurusan Pati (PKPP) sebagaimana diumumkan Jawatankuasa Kabinet mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin Khas (JKKPA-Pati Khas), pada 2 Oktokber lepas.

"Program ini akan dilaksanakan selama tiga bulan sahaja mulai 21 Oktokber 2013 sehingga 20 Jan 2014 dan rayuan majikan juga tidak akan dilayan selepas tempoh ditetapkan," katanya di sini hari ini.

Menurut Wahab, angka berkenaan adalah berdasarkan rekod aduan majikan yang diterima KDN dan tidak menolak kemungkinan jumlah Pati yang ditipu ejen atau orang tengah melebihi angka tersebut.

Beliau juga meminta majikan yang tidak sempat membuat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), tidak membayar levi dan tidak dapat hadir untuk proses pemutihan akibat penipuan itu agar datang sendiri ke Pusat Kelulusan Setempat (OSC), KDN di Aras 4, Blok D9, Kompleks D, di sini.

"Oleh itu, saya berharap mereka mengambil peluang khas berkenaan supaya pekerja asing mereka didaftarkan secara sah mengikut undang-undang negara kita sedia ada," katanya.

Katanya, majikan terbabit juga hendaklah mengemukakan laporan polis daripada tempoh bermula 1 September 2011 sehingga 10 September 2013.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang KDN di www.moha.gov.my atau hubungi Bahagian Pekerja Asing di talian 03–8885 2940/2968.

- Bernama

No comments:

Post a Comment