Saturday, 19 October 2013

Noraniza Idris meriahkan mesyuarat PWTC

Noraniza Idris
Noraniza Idris


KUALA LUMPUR - Meskipun sibuk dengan aktiviti seni, penyanyi etnik kreatif negara Noraniza Idris tidak melepaskan peluang untuk memeriahkan mesyuarat Umno Bahagian Titiwangsa dan Bahagian Setiawangsa di Pusat Dagangan Dunia (PWTC) di sini.

Noraniza, 45, yang juga anggota Umno Bahagian Titiwangsa berkata kehadiran beliau adalah untuk memberi sokongan moral kepada para perwakilan selain mengambil peluang membuka gerai selendang dan produk kosmetik di ruang legar Dewan Tun Dr Ismail di PWTC.

Mengakui mulanya kurang berminat dengan arena politik yang banyak rencah dan ragam, Noraniza berkata ketelusan Umno menjaga kebajikan rakyat menyentuh hati beliau untuk menjadi anggota Umno Bahagian Titiwangsa.

"Contohnya, saya lihat Ketua Umno Bahagian Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani yang bersungguh-sungguh menjaga dan membantu penduduk, ia mendorong saya sebagai artis untuk turut sama membantu pada hari ini.

"Apatah lagi melihat pendekatan bersama masyarakat yang lebih kurang sama dengan apa yang dilakukan golongan artis selama ini, bezanya pendekatan Umno lebih pada kebajikan rakyat," katanya kepada Bernama hari ini.

Selain Noraniza, turut membuka gerai di ruang legar itu ialah beberapa anggota Umno cawangan Desa Pandan yang menjual aksesori wanita, kek, produk kesihatan dan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Anggota Jawatankuasa Cawangan Desa Pandan Zaiton Mohamad, 52, berkata beliau menjadi anggota Umno sejak lebih 30 tahun lalu dan tidak pernah melepaskan peluang untuk berniaga setiap kali parti itu mengadakan program.

"Walaupun tidak terlibat dengan pemilihan hari ini, saya tetap datang... kerana selain mencari rezeki, saya juga mahu memberi sokongan padu kepada semua yang bertanding," katanya.

Mariani Ibrahim, 55, yang juga anggota Umno Desa Pandan, pula berkata selain menjual produk kesihatan, beliau turut mengadakan pemeriksaan kesihatan secara percuma kepada para perwakilan.

"Kita ambil peluang ini (buka gerai) sebagai penyokong, dan pada masa yang sama, perwakilan juga boleh membuat pemeriksaan kesihatan masing-masing," katanya.

Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment