Wednesday 9 October 2013

Sindiket tipu 'parcel scam' (penipuan bungkusan) tumpas

Sindiket tipu 'parcel scam' tumpas
Mohd Shukri (kiri) memberi penjelasan berhubung modus operandi yang digunakan kumpulan sindiket yang ditahan pihaknya dalam serbuan di Selayang, Sabtu lalu.


SHAH ALAM - Sindiket penipuan bungkusan (parcel scam) didalangi warga asing, lumpuh dengan penahanan tujuh lelaki dalam dua serbuan di Selayang, Batu Caves, Sabtu lalu.

Kegiatan itu terbongkar susulan satu laporan polis diterima daripada seorang jurujual buku berusia 41 tahun yang ditipu sehingga menyebabkan kerugian lebih RM76,000.

Dalam kes tersebut, mangsa difahamkan berkenalan dengan seorang wanita dikenali sebagai 'Norliza' melalui laman sosial, sebelum wanita itu mendakwa kononnya mahu menghantar barang antaranya kamera digital, komputer riba serta wang dalam not pound sterling kepada mangsa pada pertengahan Julai lalu.

Selepas itu, mangsa lelaki terbabit dikatakan dihubungi oleh wanita lain yang memperkenalkan diri sebagai Ross Mitchel dan memberitahu barang-barang terbabit berada di sebuah lapangan terbang domestik serta memberitahu semua barang itu hanya boleh dituntut, selepas mangsa membuat beberapa pembayaran seperti cukai kastam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, mangsa yang teruja mempercayai kata-kata kedua-dua wanita itu membuat enam transaksi bayaran berjumlah RM76,100 bagi menuntut hadiah tersebut.

Beliau berkata, empat transaksi dibuat atas penama berlainan, namun tiada sebarang hadiah diterima, malah kedua-dua suspek gagal dihubungi.

Menurutnya, mangsa yang sedar ditipu terus membuat laporan polis dan siasatan berjaya mengesan kesemua tujuh suspek, masing-masing terdiri daripada dua lelaki warga Afrika dan lima warga Cameroon.

"Kita tahan mereka yang berusia antara 30 dan 45 tahun itu di dua lokasi berasingan di Selayang pada 8.30 malam Sabtu lalu.

"Pemeriksaan menemui pelbagai peralatan dipercayai digunakan sewaktu kejadian antaranya telefon bimbit pelbagai jenama, komputer riba pelbagai jenama, dua unit cakera keras (hard disk), pendrive serta sebungkus daun kering disyaki ganja seberat 2.6 gram," katanya, pada sidang akhbar semalam.

Mohd Shukri berkata, hasil soal siasat awal mendapati kesemua suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan 'parcel scam' di sekitar Selangor, Johor, Kedah dan Melaka.

"Setakat ini, kita dah kenalpasti penglibatan mereka di Selangor iaitu daerah Serdang, Petaling Jaya, Sungai Buloh dan Sabak Bernam," katanya.

Beliau berkata, semua suspek direman empat hari sehingga hari ini mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu.


Sumber

No comments:

Post a Comment