Wednesday 9 October 2013

Remaja ditahan bungkus dadah

  • Remaja ditahan bungkus dadah
    Din menunjukkan dadah yang ditemui polis dalam serbuan di sebuah rumah Isnin lalu.


BATU PAHAT - Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun sanggup berhenti sekolah untuk membungkus dadah bagi meraih pendapatan lumayan dan mudah pada usia muda yang dilakukan bersama kakak dan teman lelaki kakaknya.

Bagaimanapun, remaja terbabit ditahan sepasukan polis di sebuah rumah di sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, dalam serbuan itu, pihaknya berjaya menahan lima suspek berumur sekitar 13 hingga 46 tahun termasuk remaja berkenaan.

Menurutnya, semua suspek tidak menyedari kehadiran polis dalam serbuan sekitar jam 11 malam itu, kerana sedang asyik membungkus dadah yang bakal diedarkan kepada pelanggan mereka.

Tambahnya, polis percaya lelaki berusia 46 tahun, teman lelaki kepada kakak remaja berkenaan adalah ketua kumpulan.

“Berdasarkan maklumat, lelaki terbabit dikatakan sering menumpang rumah didiami teman wanita bersama adiknya itu.

“Hasil pemeriksaan di rumah terbabit,polis berjaya menemui dadah jenis heroin dan syabu masing-masing seberat 292.15 gram dan 5.6 gram yang masih dalam proses pembungkusan,” katanya, di sini, semalam.

Din berkata, dadah jenis heroin dan syabu yang ditemui itu dianggarkan bernilai RM7,740 dan harga pasaran mungkin mencecah sehingga RM20,000 selain mampu memberikan bekalan kepada 100 penagih.

Jelasnya, semua dadah tersebut dipercayai untuk edaran tempatan dan luar daerah, terutamanya di sekitar utara negeri ini.

Beliau berkata, semua suspek kini ditahan reman sehingga 14 Oktober ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati, suspek adalah penduduk tempatan dan masih bujang selain tidak mempunyai sebarang pekerjaan,” katanya.

Selain itu, katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan polis turut berterima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membolehkan pihaknya melumpuhkan sindiket terbabit.


Sumber

No comments:

Post a Comment