Saturday 5 October 2013

Polis rampas kenderaan RM1 juta

BALIK PULAU - Polis Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket mencuri kereta mewah dengan penangkapan tujuh individu termasuk pembeli menerusi operasi yang dijalankan sejak pertengahan bulan lepas.

Ketua Polis negeri Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata polis juga merampas 11 kenderaan mewah termasuk sebuah motosikal dengan nilai keseluruhan lebih RM1 juta dalam operasi yang dilakukan di Pulau Pinang dan Kedah itu.

Operasi dilancar susulan penangkapan seorang lelaki berusia 27 tahun pada 19 Ogos lepas di Kubang Semang, Bukit Mertajam bersama sebuah kenderaan pelbagai guna jenis Toyota Estima yang dipercayai baharu dicurinya di Queensbay, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

"Susulan penahanan lelaki itu yang dipercayai dalang sindiket, polis berjaya menahan empat lagi lelaki dan dua wanita dalam beberapa serbuan di negeri ini dan juga Kedah," katanya.

Katanya, siasatan mendapati sindiket itu aktif sejak setahun lepas dan telah mencuri lebih 20 kenderaan mewah di Pulau Pinang, Kedah, Kuala Lumpur, Perak, Selangor dan Kelantan.

Menurut Abdul Rahim, sindiket itu menggunakan alat khas untuk mematikan sistem komputer dan penggera keselamatan kenderaan terbabit sebelum menghidupkan enjin menggunakan alat sama.

"Alat khas yang dibeli dengan harga RM1,000 itu dipercayai teknologi terbaru yang digunakan sindiket mencuri kereta mewah kerana mereka boleh mencuri kenderaan dalam masa satu hingga dua minit sahaja," katanya.

Beliau berkata, sebaik kenderaan mewah itu dicuri, sindiket akan menukar nombor pendaftaran, nombor casis dan nombor enjin serta didaftarkan semula dengan Jabatan Pengangkutan Jalan menggunakan geran kereta yang dilupus atau dihapus.

"Seterusnya sindiket itu akan menjual kereta berkenaan kepada pembeli tempatan dengan harga RM8,000 hingga RM50,000 sebuah mengikut jenis kenderaan," katanya.

Abdul Rahim berkata, tiga yang ditahan itu merupakan anggota sindiket manakala empat lagi adalah pembeli kenderaan curi berkenaan.

Kesemua yang berusia antara 21 dan 45 tahun itu direman bagi membantu siasatan Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan dan Seksyen 29 Akta Kesalahan Kecil.

Sementara itu katanya, polis mencari dua lelaki bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Mereka ialah Juhari Padzin, 45, dan beralamat di Kampung Kuala Pegang, Kupang, Kedah dan Mohd Sobri Mat Nayan, 29, di alamat No 56, Kampung paya Terendam, Sik, Kedah.

"Sesiapa yang mengenali dua lelaki berkenaan diminta menghubungi balai polis berdekatan bagi membantu siasatan," katanya.

- Bernama

No comments:

Post a Comment