Saturday 5 October 2013

Polis dicekup bersama kekasih di hotel

Polis dicekup bersama kekasih di hotel
Pasangan yang ditahan penguat kuasa Jaij setelah didapati berdua-duaan di dalam bilik yang berkurung.


BATU PAHAT – Niat seorang anggota polis yang mahu meraikan pengesahan jawatannya bersama kekasih terbantut, apabila bilik hotel disewanya diserbu pihak berkuasa, kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Lelaki berkenaan yang bertugas sebagai anggota polis di Terengganu ditahan Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat kerana berkurung dengan kekasihnya sehingga menimbulkan syak.

Timbalan penguat kuasanya, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, pasangan berkenaan ditahan dalam operasi bersepadu Jaij Batu Pahat, Muar, Kluang dan Johor Bahru dalam membanteras maksiat sekitar Ayer Hitam.

Katanya, pihaknya beberapa kali mengetuk pintu bilik berkenaan, namun tiada jawapan. Setelah menunggu lama dan pihak penguat kuasa mahu memecah pintu barulah ia dibuka.

“Sebaik pintu berkenaan dibuka, pihak kami mendapati seorang lelaki yang lengkap berpakaian begitu juga pasangannya. Bagaimanapun, kedua-duanya berada dalam ketakutan ketika diambil keterangan.

“Pasangan lingkungn 20-an ini enggan membuka pintu pada mulanya, namun selepas beberapa kali pintu berkenaan diketuk dan beberapa pegawai penguat kuasa mendesak memecah pintu, barulah pintu dibuka.

“Pemeriksaan menyeluruh dilakukan mendapati, lelaki dan pasangannya yang berada di dalam bilik itu tidak mempunyai hubungan sah,” katanya.

Saiful berkata, pasangan terbabit kini ditahan dan akan didakwa di bawah Seksyen 27 (1) (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997.

Katanya, pasangan terbabit juga akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan berhubung kesalahan itu selesai.

Menurutnya lagi, operasi bersepadu ini bertujuan membendung kegiatan sumbang seperti judi dan maksiat yang semakin menular di kalangan umat Islam terutama anak muda sejak akhir-akhir ini.

“Selain itu, operasi seperti ini juga akan dilakukan lebih kerap dengan tertumpu pada aduan orang ramai, hotel bajet dan kawasan berpotensi kelakuan seperti ini,” katanya.

Saiful berkata, dalam operasi itu, pihaknya turut menahan enam individu kerana melakukan kesalahan berjudi yang kemudiannya dibawa ke Balai Polis Ayer Hitam untuk proses dokumentasi sebelum dituntut waris masing-masing.

“Kesemua lelaki terbabit akan didakwa di bawah Seksyen 18 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor 1997 kerana membeli atau berada dalam kedai judi.

"Jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” katanya.


Sumber

No comments:

Post a Comment