Saturday 5 October 2013

KRU Studios rancang Black Hawk Down versi baru

KRU Studios rancang Black Hawk Down versi baru

KRU Studios merancang untuk menerbitkan versi lain filem Hollywood, Black Hawk Down dengan mengangkat sudut pandang tentera Malaysia yang terlibat dalam pertempuran yang berlaku 20 tahun lalu di Mogadishu, Somalia itu.

Presiden Eksekutifnya, Norman Abdul Halim mendedahkan bahawa filem itu masih dalam peringkat perancangan dan penyelidikan mengenai peristiwa itu akan dimulakan tidak lama lagi.

"Kami belum melibatkan diri dengan mana-mana pihak ketiga. Kami menjalankan penyelidikan sendiri untuk menempatkan kejadian itu dari kaca mata tentera Malaysia (yang menyertai pertempuran tersebut)," katanya kepada Astro AWANI.

Menurut Norman, pihaknya masih lagi berbincang tentang jalan cerita filem yang belum ada judul itu serta usaha-usaha untuk berunding dengan Kementerian Pertahanan.

"Sekiranya kami berjumpa dengan pihak ketiga yang boleh bekerjasama dan projek itu kami lihat ada potensi, kami tentu akan meneruskannya. Perancangannya memang ada," tambah beliau.

Black Hawk Down yang terbit pada 2001 diarahkan oleh sutradara Ridley Scott dan diangkat daripada sebuah buku dengan judul yang sama yang ditulis oleh Mark Bowden.

Biarpun filem itu mendapat beberapa anugerah dan pengiktirafan terutama kerana adunan bunyinya, rakyat Somalia dan tentera antarabangsa yang berada di negara Afrika bergolak itu meremehkan filem tersebut kerana beberapa fakta yang salah.

Filem itu misalnya memadamkan peranan dan sumbangan tentera antarabangsa yang berkhidmat di bawah panji-panji Pertubuhan Bangsa Bersatu di Somalia termasuk tentera Malaysia daripada Batalion ke-19 Askar Melayu Diraja (Mekanis).

Dalam pertempuran itu, Korporal Mat Aznan Awang terbunuh selepas kereta perisai yang dipandunya ditembak dengan grenad pelancar roket semasa operasi menyelamatkan tentera Amerika yang terperangkap di Pasar Baraaka. Sembilan tentera Malaysia turut cedera.

Dua helikopter Amerika yang terlibat dalam misi memburu ketua pemberontak Jeneral Mohamed Farra Aidid sebelum itu menembak jatuh dua pesawat helikopter Amerika jenis Sikorsky UH-60 Black Hawk.

Mat Aznan kemudian dikurniakan pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa atas keberaniannya itu.

Norman mendedahkan perancangan itu sebagai menjawab gesaan pembaca Astro AWANI yang mengharapkan keberanian tentera Malaysia di Mogadishu pada 20 tahun lalu diceritakan kepada generasi muda yang mungkin terpedaya dengan gambaran dalam filem Hollywood berkenaan.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan sebuah dokumentari mengenai pertempuran di Mogadishu sedang diusahakan oleh pembikin filem dokumentari Ahmad Yazid Ahmad Puad untuk membetulkan gambaran salah tersebut.

"Kalau semua berjalan lancar, dokumentari itu akan ditayangkan di pawagam tempatan sebelum akhir tahun depan," kata Ahmad Yazid.

Norman menambah bahawa KRU Studios juga berminat untuk menerbitkan filem patriotik tetapi filem berkenaan tidak semestinya filem sejarah.

Beliau memberi contoh filem Hollywood, Independence Day dan berkata, rasa bangga dan cinta kepad anegara boleh dipupuk menggunakan apa saja cerita termasuk "cerita tentang makhluk asing" dan komedi atau muzikal.

"Filem patriotik tidak semestinya melodrama, menumpukan hanya kepada Merdeka, mengangkat tokoh politik atau apa yang berlaku 50 tahun lalu," katanya.

Beliau percaya sebuah filem cerita rekaan malah lebih menarik dari mencabar bagi seseorang pembikin filem dan adalah salah untuk mengatakan filem itu kurang patriotik.

"Cuma masalahnya di Malaysia, cerita makhluk asing seperti dalam Independence Day agak asing dengan kita kerana kita lebih dekat dengan hantu.

"Kami masih menunggu masyarakat dan pihak berkuasa untuk bersikap lebih terbuka tentang bagaimana pembikin filem bercerita dan mendekati penonton," kata Norman.

KRU Studios ialah syarikat penerbitan filem dan muzik yang diasaskan oleh Norman dan dua adik-beradiknya, Yusri dan Edry.

Filem terbaru mereka, Vikingdom: The Blood Eclipse dilaporkan mendapat bayaran AS$10 juta hasil jualan ke pasaran antarabangsa. Filem itu ditayangkan di Amerika Syarikat, New Zealand dan Australia minggu ini.

Filem kisah fantasi dengan belanja besar itu didasarkan daripada watak legenda kaum Vikings. Ia diarahkan oleh Yusri dan menampilkan pelakon Hollywood manakala pembikinannya melibatkan tenaga kerja tempatan. - ASTRO Awani 

No comments:

Post a Comment