Saturday 5 October 2013

Mayat dalam but kereta dipercayai mangsa culik

Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim
Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim


IPOH - Dua lelaki yang ditemui mati di dalam but sebuah kereta di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Alor Pongsu, Lebuhraya Utara-Selatan semalam, mungkin mangsa culik di Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata ini susulan penangkapan tiga lelaki berumur antara 20 dan 30-an di Pulau Pinang yang disyaki terbabit dengan kes penculikan itu.

"Seorang suspek ditangkap semalam, manakala dua lagi ditangkap hari ini. Polis sedang siasat sama ada ketiga-tiga suspek ini mempunyai kaitan dengan dengan kes culik dan bunuh mangsa ini dan adakah kedua-dua mangsa ialah mangsa sebenar penculikan itu," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata kehilangan kedua-dua mangsa itu dilapor oleh rakan mereka pada Rabu lepas.

Katanya siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan motif sebenar pembunuhan masih dalam siasatan.

Mohd Dzuraidi berkata mangsa Ting Liong Chin, 28, yang berasal dari Sabah dan Seu Hong Chee, 19, dari Tangkak, Muar ditemui dalam keadaan kaki dan tangannya diikat serta muka dibalut plastik lut sinar di dalam but kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu.

Katanya hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) mendapati kedua-dua mangsa mati akibat sesak nafas selain mengalami kesan lebam dipercayai dipukul dengan objek tumpul.

"Mangsa berumur 28 tahun mati akibat diserkup manakala mangsa berumur 19 tahun mati akibat dijerut di bahagian leher. Kematian dipercayai berlaku lebih kurang lima hari lepas," katanya.

Sementara itu, saudara terdekat Seu yang enggan dikenali, berkata Seu merupakan anak bongsu daripada empat beradik dan bekerja sebagai jurujual di sebuah syarikat perkakasan.

"Dia sebelum ini bekerja di Kuala Lumpur tetapi dipindahkan ke cawangan di Pulau Pinang. Dia kerap telefon keluarga untuk bertanya khabar tetapi kebelakangan ini dia jarang telefon," katanya ketika ditemui pemberita di luar bilik mayat HRPB hari ini.

- Bernama

No comments:

Post a Comment