Friday 26 June 2015

Kisah kejadian gempa bumi yang tidak dipaparkan

Gempa bumi yang mengorbankan beberapa pendaki dan maling gunung melanda Ranau, Sabah 5 Jun lalu.

KOTA KINABALU - Kegigihan usaha seorang jurutali dan pendaki yang mahir, Mithun Jay Langgin menyelamat dan membantu mangsa dalam kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah pada 5 Jun lepas, merupakan sebuah kisah yang tidak pernah dipaparkan sebelum ini.

Hakikatnya, Mithun, memainkan peranan penting dalam operasi menyelamatkan 137 pendaki yang terperangkap di Gunung Kinabalu, tidak ditonjolkan dalam perspektif yang sepatutnya, sebagaimana cerita mengenai penyelamat yang lain.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun, memuji Mithun sebagai seorang daripada wira yang tidak disanjung, yang memainkan peranan utama sebaik kejadian gempa bumi berukuran 5.9 pada skala Richter itu.

Gempa bumi berkenaan telah mengorbankan 18 pendaki dan menyebabkan 137 pendaki termasuk malim gunung terkandas di puncak gunung setinggi, 4,095 meter itu.

Menurut Masidi, Mithun, seorang pegawai muda Taman-Taman Sabah, enggan untuk ditonjolkan, "tetapi saya mahu memberi kredit kepadanya. Beliau merupakan wira yang tidak disanjung,".

Menteri itu berkata, beliau menyedari peranan Mithun selepas laporan mengenai kejadian tragis berkenaan disampaikan kepadanya oleh Taman-Taman Sabah.

Masidi berkata, ini tidak bermaksud untuk memperkecilkan peranan malim gunung yang tidak disanjung sebagai wira dalam tragedi berkenaan, tetapi sekadar memaklumkan bahawa terdapat juga orang lain yang memainkan peranan penting dalam usaha menyelamat.

Ketika ditemu bual, Mithun, 28, berbangsa Dusun dari Kampung Kinasaraban di kaki Gunung Kinabalu, mengakui bahawa beliau bertanggungjawab mengetuai usaha untuk mencari laluan keluar yang selamat dari permukaan batu gunung Kinabalu untuk ke Laban Rata Lodge.

Mithun juga bekas petugas Mountain Torq, berkata semasa kejadian pada 7.15 pagi itu, beliau sedang menguruskan tempat pemeriksaan di Sayat-Sayat, pondok tertinggi pada kedudukan 3,810 meter.

Pasukan Mountain Torq merupakan pendaki yang bergalaman dan berkelayakan. 

Syarikat berkenaan mengendalikan laluan Via Ferrata (laluan pendakian yang dilindungi), iaitu tapak Warisan Dunia UNESCO, Gunung Kinabalu di Sabah.

"Ketika gunung mula bergegar, saya melihat batu-batuan jatuh dari Puncak Tunku Abdul Rahman (atas Sayat-Sayat). Saya segera memaklum dan mengarahkan semua pendaki yang berada di Sayat-Sayat untuk memanjat semula ke permukaan batu gunung pada atau aras KM7.5 yang masih bebas daripada sebarang kemusnahan.

"Pada masa yang sama, saya menghubungi pejabat Taman Kinabalu (Pusat pentadbiran utama di kaki gunung) untuk memberitahu mereka tentang keadaan kritikal di puncak gunung berkenaan.

"Bermula saat itu, saya sentiasa berhubung dengan Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Jamili Nais dan pegawai kanan yang lain selain menyelaras dengan agensi lain yang terlibat dalam operasi menyelamat," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, selepas berbincang dengan malim gunung yang lain, beliau mengetuai usaha untuk mencari laluan keluar yang selamat (jalan keluar) untuk ke Laban Rata.

"Denai asal gunung hampir tidak kelihatan berikutan bongkah batu-batuan bertaburan merata-rata. Ia suatu keadaan yang amat sukar tetapi dengan pengalaman dan kemahiran saya sebagai pendaki dan jurutali, ia memudahkan usaha berkenaan (mencari laluan).

"Saya mendapat tahu laluan penghujung Via Ferrata, telah sama sekali tidak boleh dilalui berikutan anak-anak tangga pada aras KM6.5 musnah semuanya.

"Serentak itu juga, saya ternampak malim gunung tiba. Mereka merupakan pasukan pertama terdiri daripada Albert Hamilin, Conan Jinnin dan Alfren Minol, datang dari pintu Timpohon (titik permulaan pendaki).

"Saya memberitahu Conan supaya mengambil tali pada penghujung Via Ferrata dan bawanya kepada saya. Selepas membersihkan bongkah batuan yang jatuh itu, saya berupaya mengikat tali menggunakan teknik simpulan 'double fisherman knot' untuk menakik turun.

"Saya juga memberitahu malim gunung agar memastikan terdapat tombol henti pada jarak setiap 1.5 meter untuk memberi pendaki kemudahan untuk mencengkamnya," katanya.

Beliau berkata, kira-kira pukul 11 pagi, beliau dimaklumkan bahawa sebuah helikopter akan mengangkut pendaki terkandas yang berkumpul pada permukaan batu.

"Sekitar pukul 4 petang, masih tidak kelihatan helikopter berkenaan, namun apabila ia akhirnya muncul, helikopter itu tidak dapat mendarat kerana kabus tebal sekitar puncak gunung berkenaan," katanya.

Selepas berbincang dengan malim gunung, Mithun yang menyertai Taman-taman Sabah pada 2014, memutuskan bahawa semua pendaki perlu turun melalui laluan baharu yang telah beliau kenal pasti.

"Saya memberitahu semua orang, terutama malim gunung bahawa kita mesti menggunakan apa sahaja yang kita miliki dan ketika inilah Christopher Peter Ebi tiba pada permukaan batu itu dengan beberapa utas tali dan saya secara peribadi mengikat tali keselamatan," katanya.

Beliau berkata, kumpulan pertama pendaki yang tiba di Laban Rata Lodge pada kedudukan 10,730 kaki, ialah menghampiri pukul 7 malam.

Mithun berkata, dengan usaha menyelamat yang diselaraskan dari bawah, melibatkan pasukan bomba dan penyelamat, anggota tentera serta pasukan mencari dan menyelamat (SAR), semua pendaki yang terkandas berjaya tiba di pintu Timpohon sekitar pukul 3 pagi pada 6 Jun.

"Secara keseluruhannya, usaha gigih saya selama 24 jam tanpa henti semasa kejadian gempa bumi 5 Jun lepas itu, benar-benar merupakan satu pengalaman yang baik. Taman-taman Sabah memutuskan untuk memberi saya rehat enam hari untuk membolehkan saya 'menenangkan diri'," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta kepada kerajaan Sabah untuk pemulihan di Taman Kinabalu. 

- Sumber:  Bernama

No comments:

Post a Comment