Tuesday 12 May 2015

Sari betik hanya herba, bukan ubat rawatan denggi yang diiktiraf

SUBRAMANIAM: Kementerian Kesihatan tidak iktiraf sari betik jadi alternatif rawatan denggi.

MELAKA: Jus sari daun betik yang dikatakan boleh merawat demam denggi hanya boleh diiktiraf sebagai herba dan bukannya satu daripada ubat yang diiktiraf Kementerian Kesihatan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata ini kerana produk berkenaan perlu melalui pelbagai proses saintifik termasuk proses klinikal untuk diiktiraf kementerian.

"Saya tidak dimaklumkan terdapat mana-mana syarikat yang telah menjalani proses klinikal bagi penghasilan jus betik yang mampu merawat denggi jadi ia boleh dijual sebagai herba dan bukannya ubat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kebangsaan Penolong Pegawai Perubatan Malaysia 2015 di sini hari ini.

Penasihat syarikat Al Faris Enterprise, Datuk Dr Shuib Saidin hari ini dilaporkan berkata mengambil inisiatif menghasilkan produk jus minuman sebagai alternatif untuk rawatan denggi.

Katanya, jus yang berasaskan daun betik itu mampu menghasilkan platlet darah di dalam badan pesakit bagi merawat denggi dan demam denggi berdarah dengan lebih cepat.

Jelasnya, produk yang mengandungi beberapa enzim itu mampu membantu menghalang duplikasi virus sekali gus mengaktifkan proses penyembuhan demam denggi.

Dalam perkembangan berasaingan, Subramaniam berkata, kementeriannya sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi mengkaji semula pembekuan perjawatan baharu untuk kementeriannya.

Beliau berkata pembekuan itu dikhuatiri akan memberi kesan terhadap sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat terutama melibatkan pembukaan hospital atau klinik baharu.

"Bila kita meluaskan perkhidmatan melalui pembukaan hospital atau klinik baharu, jawatan tambahan mesti diberikan dan ia tidak boleh dibekukan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman JPA berhubung pembekuan perjawatan baharu sebagai langkah pengawalan saiz dan pendekatan rasionalisasi perkhidmatan awam yang pernah dilaksanakan pada 2008, 2010 dan 2011.

JPA dalam dalam kenyataannya Jumaat lepas berkata pembekuan pewujudan perjawatan baharu dalam perkhidmatan awam akan diimbangi dengan usaha menambah peluang pekerjaan di sektor swasta.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment