Tuesday 12 May 2015

Mahkamah arah SPRM bayar RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membayar ganti rugi sebanyak RM600,000 kepada keluarga Teoh Beng Hock.

Peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo berkata pihak defenden, iaitu Kerajaan Malaysia, SPRM dan 10 anggotanya, turut diarahkan membayar RM60,000 sebagai kos.

Gobind berkata pihak defendan telah bersetuju untuk membayar jumlah yang diarahkan itu dan keluarga Teoh telah bersetuju dengannya.

Namun demikian, Gobind berkata keluarga Teoh masih mahu individu yang bertanggungjawab di atas kematian Teoh, didakwa di mahkamah.

“Ini merupakan kemenangan besar kepada keluarga Teoh. Selepas enam tahun bertempuran di persada undang-undang, mereka kini mempunyai pengakuan SPRM dan kerajaan bahawa mereka bertanggungjawab untuk kematiannya.

"Kami akan terus mendesak polis bertindak dalam kes ini. Kami sudah melakukan segala apa yng mungkin dari segi undang-undang. Sekarang terpulang kepada polis untuk melakukan apa yang perlu dan kami tidak akan berhenti berjuang demi keadilan untuk Teoh," kata Gobind di dalam satu kenyataan.

Gobind, yang mengambil alih kes itu dari mendiang bapanya Karpal Singh, berkata beliau tidak akan menerima apa-apa bayaran daripada keluarga Teoh dan ini juga merupakan permintaan ayahnya.

Teoh ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas dipanggil ke pejabat SPRM bagi merekodkan keterangan atas dakwaan salah guna dana awam ke atas majikannya.

Mahkamah Rayuan pada September tahun lalu mengenepikan keputusan koroner dalam inkues sebelum ini dan memutuskan bahawa kematian Teoh adalah kematian dalam tahanan apabila dia ditahan oleh (SPRM) dan menolak dakwaan bahawa mendiang membunuh diri.

Teoh, ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, yang sebelum ini menempatkan ibu pejabat SPRM, pada pagi 16 Julai 2009.

- Sumber: Astro Awani 

No comments:

Post a Comment